Lotteria Malaysia Bakal Buka Cawangan Kedua Di Kajang

September 10, 2026
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Selepas membuka cawangan pertamanya di The Curve, Mutiara Damansara, Lotteria Malaysia dilihat bakal memperluaskan operasinya ke Sungai Ramal, Kajang menerusi pembukaan cawangan keduanya.

Perkara tersebut dilihat menerusi perkembangan terbaharu Lotteria Malaysia yang kini sedang berada dalam fasa pencarian krew restoran bagi cawangan baharu berkenaan.

Kehadiran Lotteria di Sungai Ramal ini pastinya menarik perhatian khususnya buat peminat makanan segera gaya Korea di sekitar Kajang dan kawasan berdekatan.

Untuk anda yang masih belum pernah mencuba, Lotteria dikenali menerusi pilihan burger dan hidangan makanan segera berinspirasikan cita rasa Korea.

Antara menu yang ditawarkan termasuk Ria’s Bulgogi Burger, Ria’s Shrimp Burger, Hot Crispy Chicken Burger dan T-REX Chicken Burger, selain pilihan Korean Fried Chicken seperti Original, Spicy dan Gangjung Chicken.

Buat masa ini, tarikh pembukaan rasmi cawangan Sungai Ramal masih belum diumumkan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd