The Waterfront Shoppes Bakal Dibuka 29 Oktober, Destinasi Gaya Hidup Terbesar Pulau Pinang
Lina Rosli
Pulau Pinang bakal mempunyai satu lagi destinasi gaya hidup baharu apabila The Waterfront Shoppes (TWS) mula dibuka secara berperingkat pada 29 Oktober 2026.
Bagi yang tidak mengetahui, TWS ini bakal dibuka di pesisir timur Pulau Pinang. Ia menghimpunkan pelbagai pengalaman dalam satu lokasi, merangkumi membeli-belah, makanan dan minuman, hiburan, riadah serta perkhidmatan.

Pembangunan ini merupakan sebahagian daripada The Light City, sebuah pembangunan bersepadu berskala besar yang menggabungkan komponen kediaman, hotel, perniagaan, konvensyen, peruncitan dan rekreasi.
Dengan keluasan keseluruhan lebih 4.1 juta kaki persegi, The Light City bakal menjadi antara pembangunan pesisiran terbesar di Pulau Pinang.
TWS bakal mempunyai sekitar 300 lot kedai
The Waterfront Shoppes mempunyai keluasan lantai kasar kira-kira 1.6 juta kaki persegi merentasi empat tingkat, yang bakal memuatkan sekitar 300 lot yang merangkumi peruncitan, makanan dan minuman, hiburan serta pelbagai perkhidmatan.
Apabila siap sepenuhnya, TWS dijangka menjadi pusat beli-belah terbesar di Pulau Pinang.

Menariknya, pengalaman di TWS tidak hanya tertumpu di ruang dalam bangunan. Pengunjung juga boleh menikmati Light Promenade, sebuah promenad pesisiran sepanjang 750 meter yang bersambung terus dengan TWS.
Ruang terbuka ini direka untuk menjadi kawasan santai bagi pengunjung menikmati makanan, beriadah serta menyertai pelbagai aktiviti komuniti sambil menikmati pemandangan pesisiran.
TWS Menampilkan Empat Zon Utama Untuk Keperluan Berbeza
TWS dibahagikan kepada empat zon utama, iaitu Union Square, Campbell Court, Victoria Square dan Rodeo Drive.
Setiap kawasan mempunyai konsep tersendiri yang mengambil inspirasi daripada lokasi serta elemen tertentu yang berkait dengan identiti Pulau Pinang.
- Union Square mengetengahkan suasana jalanan Pulau Pinang dan bakal menjadi salah satu lokasi untuk pengunjung bersantai serta menikmati makanan. Kawasan ini akan menampilkan pilihan kafe, restoran dan makanan antarabangsa, selain ruang untuk aktiviti riadah.

- Campbell Court mengambil inspirasi daripada Campbell Street dan kawasan Chinatown bersejarah di Pulau Pinang. Zon ini memberi tumpuan kepada gaya hidup dan penjagaan diri, dengan gabungan elemen klasik George Town serta reka bentuk ruang yang lebih moden.

- Victoria Square pula diinspirasikan oleh seni bina kolonial di sepanjang Victoria Street. Kawasan ini akan memberi tumpuan kepada fesyen dan gaya hidup, dengan deretan kedai serta fasad dua tingkat yang mewujudkan suasana seperti sebuah jalan beli-belah tersendiri.

- Rodeo Drive pula mengambil inspirasi daripada destinasi terkenal dengan nama sama di Los Angeles. Zon ini akan menampilkan jenama ternama, gedung utama, kafe terbuka dan restoran, selain ruang yang memberi tumpuan kepada gaya hidup aktif, kesejahteraan dan aktiviti sosial.
TWS turut dirancang untuk menawarkan hiburan kepada pelbagai peringkat umur, termasuk pawagam imersif, selain kemudahan berkaitan kesejahteraan dan aktiviti keluarga.

Dari segi akses pula, The Light City terletak berhampiran Jambatan Pulau Pinang dan mempunyai hubungan terus dengan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
Bukan itu sahaja, ia turut menawarkan lebih 3,500 petak tempat letak kereta untuk kegunaan pengunjung TWS dan PWCC, manakala jaringan LRT yang dirancang pada masa hadapan dijangka meningkatkan lagi akses ke kawasan berkenaan.
Dengan pembukaan secara berperingkat mulai 29 Oktober 2026, The Waterfront Shoppes bakal menambah satu lagi destinasi baharu untuk membeli-belah, makan, beriadah dan menikmati aktiviti gaya hidup di Pulau Pinang.