Apa Itu Kopi Gesha? Kenapa Popularitinya Kini Mula Dicabar?
Lina Rosli
Bagi penggemar kopi istimewa atau speciality coffee, nama Gesha mungkin sudah tidak asing lagi.
Varieti kopi Arabika ini terkenal dengan aroma bunga dan rasa buah yang kompleks serta menampilkan tekstur yang ringan seakan teh.
Bagi yang tidak mengetahui, kopi Gesha juga pernah menjadi antara varieti paling mendapat perhatian dalam dunia kopi istimewa, khususnya selepas penghasilannya di Panama mula mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kedudukannya mula berubah. Gesha masih menjadi antara varieti paling dicari dan bernilai tinggi, tetapi beberapa varieti lain semakin menunjukkan prestasi yang kuat dalam pertandingan kopi dan lelongan berprestij.
Apa Itu Kopi Gesha?
Gesha ialah varieti kopi Arabika yang asalnya ditemui di kawasan hutan Gesha di Ethiopia. Nama Gesha juga kadangkala dieja sebagai “Geisha”, tetapi ia tidak mempunyai kaitan dengan istilah geisha dari Jepun.
Varieti ini mempunyai ciri rasa yang berbeza daripada kebanyakan kopi Arabika lain, dengan nota seperti bunga melur, pic, sitrus dan buah tropika. Teksturnya pula sering digambarkan ringan dan seakan teh, dengan keasidan yang jelas tetapi bersih.
Walaupun berasal dari Ethiopia, Gesha hanya benar-benar mendapat perhatian dunia selepas ditanam di Panama.

Bagaimana Gesha Menjadi Begitu Popular?
Sejarah Gesha bermula lebih jauh daripada Panama. Benih daripada kawasan Gesha di Ethiopia telah dibawa keluar dari negara tersebut pada tahun 1930-an sebelum kemudiannya tersebar ke beberapa negara pengeluar kopi.
Di Panama, varieti ini mula ditanam di kawasan Boquete sekitar tahun 1960-an. Namun, ia tidak terus menjadi perhatian utama kerana hasil tanamannya yang rendah dan sifat pokok yang agak sukar dijaga.
Keadaan berubah pada tahun 2004 apabila kopi Gesha daripada Hacienda La Esmeralda memenangi perhatian besar dalam pertandingan Best of Panama.
Kualiti dan profil rasanya yang luar biasa menjadikan Gesha semakin dikenali, sekaligus mendorong lebih ramai pengeluar kopi untuk menanam serta menghasilkan lot khas daripada varieti tersebut.
Sejak itu, nama Gesha semakin sinonim dengan kopi istimewa berkualiti tinggi.
Kenapa Kopi Gesha Boleh Jadi Sangat Mahal?
Harga Gesha bukan sekadar bergantung pada nama varietinya.
Pokok Gesha biasanya menghasilkan buah dalam jumlah yang lebih rendah dan memerlukan keadaan penanaman serta penjagaan yang teliti. Faktor seperti altitud, tanah, cuaca, pemprosesan dan kemahiran pengeluar turut mempengaruhi kualiti akhir biji kopi.

Apabila pengeluaran terhad digabungkan dengan permintaan tinggi, harga kopi ini boleh meningkat dengan ketara.
Sesetengah lot Gesha berkualiti tinggi yang ditawarkan melalui lelongan khusus juga pernah mencapai harga ribuan dolar bagi setiap gram. Sebab itu, Gesha sering dianggap sebagai antara kopi paling eksklusif dalam dunia kopi istimewa.
Varieti Lain Mula Mencabar Gesha
Antara perkembangan yang menarik ialah kemunculan varieti seperti Parainema, Pink Bourbon, Sidra, Ombligon, Bernardina, Wush Wush dan beberapa varieti lain.
Dalam Global Coffee Awards 2025, hanya enam daripada 25 kopi teratas merupakan Gesha. Sebaliknya, kopi daripada varieti Parainema yang berasal dari Honduras mencatatkan skor tertinggi.

Pertandingan Cup of Excellence juga menunjukkan perkembangan yang sama apabila varieti seperti Parainema, Washed Java dan Bernardina berjaya mencuri perhatian dalam negara masing-masing.
Keputusan seperti ini menunjukkan bahawa prestasi sesebuah kopi tidak semestinya bergantung kepada nama varieti semata-mata.
Gesha Juga Mula Digabungkan Dengan Varieti Lain
Selain memilih varieti alternatif, sesetengah barista turut menggunakan Gesha bersama varieti lain untuk menghasilkan profil rasa yang lebih kompleks.
Sebagai contoh, pemenang World Barista Championship 2023, Boram Um, menggunakan gabungan Gesha dan Pink Bourbon. Pada 2024 pula, Takayuki Ishitani menggunakan gabungan Gesha dan Caturra.
Dalam pertandingan 2025, wakil Malaysia Jason Loo turut menggunakan gabungan Gesha dari Panama bersama Liberica dari Malaysia.

Pendekatan ini menunjukkan bagaimana barista kini tidak semestinya bergantung kepada satu varieti untuk menghasilkan kopi pertandingan. Gabungan varieti, kaedah pemprosesan dan keadaan tempat kopi itu ditanam boleh digunakan untuk membentuk profil rasa tertentu.
Jadi, Adakah Gesha Sudah Tidak Popular?
Tidak. Gesha masih merupakan antara varieti kopi istimewa yang paling dikenali, dicari dan bernilai tinggi. Apa yang berubah ialah kedudukannya yang tidak lagi begitu dominan seperti sebelum ini.
Kemunculan varieti lain membuktikan bahawa dunia kopi istimewa semakin terbuka kepada lebih banyak kemungkinan.
Varieti yang dahulunya kurang mendapat perhatian kini boleh bersaing dengan Gesha apabila keadaan penanaman, pemprosesan dan teknik penyediaannya menghasilkan profil yang menarik.