UNIQLO Raikan Ikon PROTON Menerusi Koleksi UTme!

September 28, 2026
Fesyen

Lina Rosli

Bagi ramai rakyat Malaysia, kereta bukan sekadar kenderaan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Ada yang menjadi kereta pertama ketika mula belajar memandu, menemani perjalanan balik kampung atau menjadi sebahagian daripada rutin harian bersama keluarga.

Menyedari hubungan ini, UNIQLO Malaysia kini membawa beberapa model ikonik PROTON ke dalam koleksi terbaharunya menerusi UTme! PROTON Collection, yang mula ditawarkan pada 28 September 2026.

Kolaborasi ini menggabungkan konsep LifeWear UNIQLO dengan sejarah PROTON sebagai antara jenama automotif yang dekat dengan kehidupan rakyat Malaysia.

Menerusi koleksi ini, model-model PROTON diterjemahkan ke dalam rekaan yang boleh dipakai dan dibawa ke mana-mana.

Raikan perjalanan PROTON bersama rakyat Malaysia

Lebih empat dekad selepas penubuhannya, PROTON telah melalui pelbagai fasa perkembangan industri automotif tempatan.

Daripada Proton Saga yang diperkenalkan pada 1985, hinggalah kepada model-model generasi baharu seperti X50, S70 dan e.MAS 7, setiap model hadir pada era dan keperluan yang berbeza.

Bagi sesetengah pemilik, model-model ini turut mempunyai cerita tersendiri — sama ada sebagai kereta pertama, kenderaan keluarga atau teman untuk perjalanan seharian.

Elemen inilah yang cuba diketengahkan menerusi UTme! PROTON Collection, dengan rekaan yang mengambil inspirasi daripada beberapa model PROTON yang dikenali dalam kalangan peminat automotif tempatan.

Untuk kerjasama ini, koleksi UTme! PROTON menampilkan ilustrasi lima model PROTON, iaitu Proton Saga, Satria Neo R3, S70, X50 dan e.MAS 7.

Rekaan koleksi ini dihasilkan menerusi ilustrasi oleh artis Malaysia, Syaiful Bahri, yang memberikan interpretasi tersendiri terhadap model-model berkenaan.

Bagi yang berminat, UTme! PROTON ini menawarkan beberapa pilihan untuk dewasa dan kanak-kanak.

Antaranya ialah UTme! T-Shirt untuk dewasa pada harga RM79.90, manakala UTme! T-Shirt kanak-kanak ditawarkan pada harga RM59.90.

Turut tersedia ialah UTme! Tote Bag untuk kanak-kanak pada harga RM79.90.

Antara lokasi yang menawarkan koleksi ini termasuk The Exchange TRX, Fahrenheit88, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall Kuala Lumpur dan Mid Valley Southkey Johor.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd