Eco-Shop Raikan Ulang-Tahun Ke-23, Kini Ada 462 Cawangan Dan Lebih 2.43 Juta Ahli Aplikasi
Lina Rosli
Selama lebih dua dekad, Eco-Shop berkembang daripada sebuah kedai yang bermula di Jementah, Johor kepada rangkaian peruncitan yang kini mempunyai lebih 462 cawangan di seluruh Malaysia.

Bagi yang tidak mengetahui, Eco-Shop merupakan peruncit tempatan yang membawa konsep kedai harga tetap, dengan menawarkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga mampu milik.
Bermula dengan harga RM2.60, pilihan produk Eco-Shop kini merangkumi pelbagai kategori untuk keperluan isi rumah, termasuk makanan, barangan rumah, penjagaan diri, keperluan bayi dan kanak-kanak, alat tulis, penjagaan haiwan peliharaan serta banyak lagi.

Dalam perkembangannya, Eco-Shop turut membangunkan rangkaian jenama produk sendiri yang merangkumi pelbagai kategori produk.
Antara jenama yang diketengahkan termasuk Ganso, Kreati, Verona Plus, Excue, Casa, Joyit, Delicies, Mama, Fruzumi, Ells, Ene, Framoc, Fun Fiest, Baby Boo, Maxz, Sped, Qnexx, Crispstar, Pawsitives, Artsy Bakin’s, Pawbit, Eco, Wow9, Play dan Wak Limah.
Kepelbagaian ini membolehkan Eco-Shop menawarkan produk daripada kategori yang berbeza, selain membina rangkaian produk sendiri yang boleh didapati di cawangannya.

Kini mempunyai 462 cawangan di Malaysia
Perkembangan Eco-Shop turut dapat dilihat menerusi jumlah cawangannya yang meningkat secara konsisten.
Setakat Mei 2026, Eco-Shop mempunyai 462 cawangan di seluruh Malaysia, sekaligus memperluaskan akses pengguna kepada pelbagai barangan keperluan harian pada harga mampu milik.
Dalam masa yang sama, Eco-Shop kini turut menyasarkan pembukaan lebih banyak cawangan di kawasan sekitar Lembah Klang. Langkah ini mencerminkan usaha syarikat untuk memperluaskan lagi capaian jenamanya, bukan hanya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah, tetapi juga pengguna daripada kumpulan berpendapatan pertengahan.

Selain konsep kedai utamanya, Eco-Shop turut memperkenalkan format kedai Eco-Plus, yang menawarkan produk pada harga sehingga RM10 dan memberikan pengalaman membeli-belah dengan susun atur yang berbeza.
Lebih 2.43 juta ahli aplikasi Eco-Shop
Eco-Shop turut membina hubungan dengan pelanggannya menerusi aplikasi kesetiaan yang menawarkan pelbagai manfaat kepada ahli.
Untuk pengetahuan anda, aplikasi Eco-Shop mempunyai lebih 2.43 juta ahli. Melalui program ini, pelanggan boleh mendapatkan manfaat eksklusif yang melengkapkan pengalaman membeli-belah mereka di Eco-Shop.
Sambut ulang tahun ke-23 dengan kempen Buy & Win
Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-23 pada tahun ini, Eco-Shop turut menjalankan kempen nasional dari 5 Oktober hingga 29 November 2026, dengan Visa sebagai rakan pembayaran.

Kempen tersebut menampilkan pertandingan Buy & Win dengan hadiah keseluruhan bernilai RM250,000.
Sebanyak 19 pemenang bakal membawa pulang sebuah Proton X70 1.5TD Premium, tiga motosikal Honda RS150R dan 15 unit Samsung Galaxy Z Fold8.

Pelanggan yang berbelanja sekurang-kurangnya RM35 dalam satu resit dan membuat bayaran menggunakan Visa akan menerima satu penyertaan. Ahli Eco-Shop pula menerima dua penyertaan bagi setiap pembelian yang memenuhi syarat.
Kempen ini turut disertakan dengan hadiah pembelian yang boleh diperoleh di semua cawangan Eco-Shop di seluruh negara, tertakluk kepada stok.