Samsung Galaxy Buds4: Apa Yang Berubah Selepas Saya Guna Buds3 FE?
Lina Rosli
Selepas menggunakan Samsung Galaxy Buds3 FE sebelum ini, saya tertanya-tanya sama ada Samsung Galaxy Buds4 benar-benar menawarkan peningkatan yang cukup untuk membuatkan pengguna fon telinga lama rasa perlu untuk bertukar.
Dari segi reka bentuk, kualiti bunyi, kawalan dan beberapa ciri baharu, memang ada perubahan yang ditawarkan. Tetapi persoalannya, adakah perbezaan tersebut cukup ketara dalam penggunaan harian?

Selepas menggunakannya, jawapan saya ialah ya, tetapi bukan dalam bentuk perubahan yang terlalu besar.
Secara umumnya, Samsung Galaxy Buds4 terasa seperti versi yang lebih matang dan lebih lengkap, terutamanya dari segi keselesaan, kawalan serta cara ia menyesuaikan audio mengikut persekitaran.
Reka Bentuk Lebih Ringkas Dan Ringan
Perkara pertama yang saya perasan ialah reka bentuk Samsung Galaxy Buds4. Ia masih menggunakan rekaan berbatang, tetapi keseluruhan bentuknya terasa lebih kemas dan ringan.
Setiap fon telinga hanya seberat 4.6 gram, jadi ia tidak terasa membebankan walaupun digunakan untuk tempoh yang lama.

Berbanding pengalaman saya dengan Buds3 FE, Buds4 terasa lebih mudah dipakai untuk tempoh panjang. Bagi saya, perkara ini penting kerana fon telinga sebegini biasanya digunakan bukan hanya ketika mendengar muzik, tetapi juga ketika bekerja, membuat panggilan atau menonton video.
Tambahan itu, Samsung Galaxy Buds4 juga mempunyai penarafan IP54, jadi ia lebih bersedia untuk menghadapi percikan air dan habuk dalam penggunaan harian.

Bunyi Lebih Padu Dan Lebih Mudah Disesuaikan
Untuk pengetahuan anda, Samsung Galaxy Buds4 menggunakan pembesar suara satu hala 11mm dan menyokong audio 24-bit Hi-Fi, termasuk sehingga 24-bit/96kHz pada peranti Galaxy tertentu yang serasi.
Dalam penggunaan saya, perkara yang paling menarik bukan semata-mata bass yang lebih kuat, tetapi bunyi yang terasa lebih seimbang. Vokal masih jelas ketika mendengar lagu, sementara bass memberikan sedikit lebih banyak kedalaman apabila diperlukan.

Untuk kerja pula, ia cukup selesa digunakan untuk muzik latar, podsiar atau video tanpa membuatkan bunyi terasa terlalu menonjol.
Sokongan 360 Audio dengan Head Tracking juga masih menjadi salah satu ciri menarik, terutama ketika menonton kandungan yang serasi. Bunyi terasa lebih luas berbanding pengalaman mendengar secara biasa.
Ciri ANC Yang Lebih Pintar
Kalau ada satu peningkatan yang saya rasa lebih relevan untuk kegunaan harian, ia adalah sistem pembatalan hingar.
Buds4 hadir dengan Active Noise Cancellation (ANC), Adaptive ANC dan Adaptive EQ.

Pada Buds3 FE, saya lebih banyak menggunakan ANC apabila berada di tempat yang bising. Dengan Buds4, pengalaman terasa lebih fleksibel kerana sistemnya boleh menyesuaikan audio berdasarkan keadaan persekitaran.
Ini berguna apabila bekerja di kafe, berada dalam pengangkutan awam atau sekadar mahu fokus mendengar sesuatu tanpa perlu menaikkan volum terlalu tinggi.
Namun, saya masih tidak menganggap ANC pada Buds4 sebagai pengganti kepada fon kepala dengan ANC bersaiz penuh. Untuk fon telinga kompak, ia sudah memadai untuk kegunaan harian.

Kawalan Lebih Mudah
Saya juga suka cara Samsung mengekalkan Pinch Control dan Swipe Control pada Buds4.

Daripada perlu mencari telefon untuk mengawal muzik, saya boleh mencubit batang fon telinga untuk memainkan atau menjeda kandungan, serta meleret untuk mengubah volum.
Ada juga sokongan Head Gesture, yang membolehkan beberapa kawalan dilakukan melalui gerakan kepala.

Sambungan Lebih Lancar Untuk Pengguna Galaxy – Bateri Lebih Tahan Lama
Selain itu, Samsung Galaxy Buds4 juga menggunakan Bluetooth 6.1 dan masih menyokong fungsi Auto Switch antara peranti Galaxy.
Ini antara perkara yang saya hargai kerana fon telinga bukan lagi digunakan dengan satu peranti sahaja.

Dari segi bateri, Samsung Galaxy Buds4 menawarkan sehingga 5 jam penggunaan dengan ANC dihidupkan, atau sehingga 24 jam secara keseluruhan bersama bekas pengecas.
Dengan ANC dimatikan, ia boleh mencapai sehingga 6 jam pada fon telinga dan 30 jam bersama bekas.

Jadi, Berbaloi Ke Naik Taraf Daripada Buds3 FE?
Kalau anda sudah menggunakan Galaxy Buds3 FE, saya tidak akan kata Buds4 ialah peningkatan yang wajib dibuat.
Buds3 FE masih memadai untuk muzik, panggilan, ANC dan penggunaan harian. Tetapi selepas menggunakan Buds4, saya lebih suka pengalaman keseluruhannya kerana ia terasa lebih ringan, lebih kemas dan lebih pintar dalam mengendalikan audio serta kawalan.

Bagi pengguna yang baru mahu mendapatkan fon telinga Samsung pula, Samsung Galaxy Buds4 pada harga RM699 menawarkan pakej yang lebih lengkap dengan ANC adaptif, Adaptive EQ, 360 Audio, kawalan sentuhan, Head Gesture, Bluetooth 6.1 dan integrasi Galaxy AI.