Setel Hadir Dengan Ciri Voice Fuelling, Boleh Aktifkan Pam Minyak Dengan Arahan Suara
Lina Rosli
Setel baru-baru ini memperkenalkan Voice Fuelling, ciri berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan pengguna mengaktifkan pam minyak menggunakan arahan suara.
Buat masa ini, Voice Fuelling masih dalam fasa beta dan menyokong arahan suara dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin serta Tamil.
Voice Fuelling turut hadir sebagai penambahbaikan kepada ciri Pengisian One-tap yang sebelum ini diperkenalkan oleh Setel. Selepas mengaktifkan Voice Fuelling melalui aplikasi Setel, pengguna hanya perlu menyebut nombor pam yang ingin digunakan untuk memulakan proses pengisian minyak.

Selepas arahan diberikan, AI Setel akan menguruskan transaksi secara automatik berdasarkan kaedah pembayaran serta pilihan pengisian minyak yang telah ditetapkan oleh pengguna.
Ini membolehkan proses pengisian dilakukan dengan lebih mudah tanpa perlu melalui beberapa langkah secara manual dalam aplikasi.


Menurut Setel, Voice Fuelling direka untuk memenuhi keperluan pelbagai golongan pengguna termasuk pemandu, penunggang motosikal, pengendali fleet dan pemandu seru pandu. Ciri ini juga boleh membantu pengguna yang kurang biasa menggunakan aplikasi atau lebih selesa memberikan arahan secara lisan ketika berada di stesen minyak.
Bagi membantu lebih ramai pelanggan menggunakan ciri baharu ini, pengedar PETRONAS serta kru di stesen turut memainkan peranan dalam memperkenalkan dan membantu pelanggan mengaktifkan Voice Fuelling.

Dalam masa sama, pengguna baharu Setel boleh menikmati 5x mata ganjaran Mesra Rewards, sehingga maksimum 500 mata, selepas memuat turun aplikasi, mendaftar dan mengesahkan akaun serta membuat pengisian minyak sekurang-kurangnya 1 liter.
Tawaran ini boleh ditebus sekali bagi setiap pengguna dan tidak terhad kepada penggunaan Voice Fuelling. Ia terpakai untuk pengisian RON95, RON97 dan Diesel, termasuk BUDI95 dan BUDI Diesel, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.