Saya Cuba ASUS Zenbook DUO (2026) Untuk Kerja Editorial, Ini Pengalaman Saya

October 19, 2026
Gajet Dan Teknologi

Lina Rosli

Dalam kerja editorial, saya jarang membuka satu aplikasi sahaja pada satu masa. Ketika menyiapkan artikel, saya mungkin perlu merujuk siaran media, menyemak laman web rasmi dan membaca emel dalam masa yang sama.

Belum lagi apabila ada gambar atau video yang perlu disunting sebelum kandungan diterbitkan.

Apabila semua tugasan ini perlu dilakukan menggunakan satu laptop, saya biasanya berdepan situasi terlalu banyak tab dan aplikasi dibuka serentak.

Sudah tentu ia bukanlah satu masalah besar, tetapi saya kadangkala perlu mengambil masa untuk mencari semula halaman yang diperlukan atau bertukar antara tetingkap ketika sedang menyiapkan sesuatu tugasan.

Di sinilah ASUS Zenbook DUO (2026) UX8407AA menarik perhatian saya. Untuk pengetahuan anda, laptop ini hadir dengan dua skrin OLED berukuran 14 inci – menawarkan pendekatan berbeza untuk menguruskan pelbagai tugasan dalam satu masa.

Untuk mengetahui prestasi laptop ini, saya menggunakannya untuk kerja-kerja harian bagi melihat sejauh mana reka bentuk ini benar-benar memudahkan urusan kerja saya.

Dua Skrin Yang Tidak Janggal

Perkara pertama yang saya cuba ialah menggunakan skrin utama sebagai skrin rujukan, manakala skrin kedua sebagai skrin kerja suntingan slaid perbentangan.

Dengan cara ini, saya boleh membaca maklumat asal sambil mengemas kini draf tanpa perlu berulang kali bertukar antara tab.

Di kebanyakan waktu, saya memang cenderung membuka banyak tab pelayar ketika bekerja kerana setiap satunya mungkin diperlukan untuk rujukan.

Malah, saya juga kerap bertukar antara tab pelayar, e-mel dan aplikasi penyuntingan seperti Affinity dan CapCut, bergantung pada tugasan yang sedang dilakukan.

Dalam satu masa, saya mungkin sedang menulis artikel sambil menerokai web carian atau merujuk dokumen, sebelum beralih pula kepada kerja menyunting gambar dan video.

Apabila terlalu banyak tetingkap dibuka serentak, saya kadangkala perlu mengambil masa untuk mencari semula halaman atau aplikasi yang diperlukan.

Dengan ASUS Zenbook DUO (2026), saya boleh menyusun tetingkap mengikut keperluan. Selain bahan rujukan, saya boleh meletakkan emel, WhatsApp atau nota pada skrin kedua, sementara ruang utama dikhaskan untuk penulisan.

Bagi saya, kelebihan ini bukan sekadar membolehkan saya melihat lebih banyak kandungan pada satu masa. Ia membantu saya menguruskan maklumat dengan lebih teratur, terutama ketika menyiapkan artikel yang memerlukan rujukan daripada beberapa sumber.

Saya juga tidak perlu sentiasa meminimumkan atau membuka semula tetingkap untuk meneruskan tugasan.

Sudah tentu, dua skrin tidak bermakna semua kerja akan menjadi lebih pantas secara automatik.

Saya masih perlu menyusun aplikasi supaya kedua-dua paparan tidak dipenuhi terlalu banyak maklumat. Namun, selepas membiasakan diri, cara kerja ini terasa lebih sesuai dengan rutin saya.

Skrin Serba Boleh Ditambah Dengan Prestasi GPU Yang Padu

Selain menulis dan menyunting teks, saya turut menggunakan laptop untuk menyunting gambar dan video. Ini antara tugasan yang memerlukan komputer yang berprestasi tinggi – serta turut menawarkan visual yang jitu dan jelas.

Dari segi prestasi, ASUS Zenbook DUO dilengkapi pemproses Intel Core Ultra X9 388H daripada Series 3, memori 32GB dan grafik Intel Arc. Gabungan ini direka untuk menyokong tugasan produktiviti, multitugas dan kerja kreatif, termasuk penyuntingan kandungan.

Untuk rutin saya yang melibatkan penulisan, penyuntingan serta penggunaan Adobe Cloud Creative, Affinity dan CapCut, spesifikasi seperti ini relevan kerana saya kerap beralih antara pelbagai aplikasi.

Apabila digabungkan dengan reka bentuk dua skrin, saya mempunyai ruang kerja yang lebih fleksibel untuk menguruskan tugasan tanpa terlalu kerap menutup aplikasi yang masih diperlukan.

Walau bagaimanapun, prestasi sebenar ketika menyunting gambar dan video bergantung pada jenis projek serta beban kerja.

Bagi saya, perkara yang penting bukan sekadar kuasa pemproses, tetapi bagaimana laptop ini dapat memenuhi keperluan kerja harian tanpa menyukarkan aliran kerja.

Bercakap mengenai kualiti skrin pula, kedua-dua skrin ASUS Zenbook DUO ini menggunakan panel ASUS Lumina Pro OLED – hadir dengan resolusi 3K, kadar segar semula sehingga 144Hz dan liputan warna 100% DCI-P3.

Warna yang dipaparkan kelihatan cantik, menjadikan pengalaman melihat gambar dan video lebih menyenangkan.

Copilot+ Hadir Sebagai Pembantu Tambahan

ASUS Zenbook DUO (2026) turut hadir sebagai Copilot+ PC, dengan sokongan pelbagai ciri kecerdasan buatan dalam Windows. Microsoft Copilot, misalnya, boleh membantu pengguna menyusun idea, mendapatkan gambaran awal tentang sesuatu topik atau meringkaskan maklumat.

Selain itu, Copilot+ turut menyokong ciri seperti Live Captions yang menyediakan sari kata untuk kandungan audio dan video, serta Windows Studio Effects yang boleh membantu meningkatkan kualiti imej ketika menghadiri mesyuarat dalam talian.

Untuk tugasan kreatif pula, fungsi seperti Cocreator dalam Paint dan ciri penyuntingan gambar berasaskan AI dalam aplikasi Photos boleh membantu pengguna menghasilkan atau mengubah suai kandungan visual.

Bagi kerja editorial, ciri-ciri ini berpotensi memudahkan beberapa tugasan harian, daripada menguruskan maklumat hinggalah menghasilkan kandungan visual.

Fleksibiliti Penggunaan Papan Kekunci

Satu lagi perkara menarik tentang ASUS Zenbook DUO (2026) ialah papan kekuncinya yang boleh ditanggalkan.

Apabila dipasang pada kedudukan yang disediakan, laptop ini berfungsi seperti laptop konvensional dengan papan kekunci di bahagian bawah dan skrin di bahagian atas.

Namun, apabila papan kekunci ditanggalkan, kedua-dua skrin boleh digunakan sebagai ruang paparan tambahan. Jika perlu menaip tanpa papan kekunci fizikal, saya juga boleh menggunakan papan kekunci maya yang dipaparkan pada skrin sentuh.

Bagi saya, fleksibiliti ini memudahkan saya mengubah susunan kerja mengikut keperluan. Saya boleh menggunakan ASUS Zenbook DUO (2026) seperti laptop biasa ketika menulis atau menanggalkan papan kekunci untuk memanfaatkan kedua-dua skrin.

Papan kekuncinya juga selesa digunakan untuk menaip, jadi saya tidak menghadapi masalah untuk menyiapkan artikel.

Ketahanan Bateri Yang Memuaskan

Ketahanan bateri juga menjadi antara perkara yang saya hargai. Dalam penggunaan saya, baterinya boleh bertahan dari pagi hingga petang. Ini memudahkan saya meneruskan tugasan harian tanpa perlu terlalu kerap mencari soket kuasa.

Untuk pengetahuan anda, ASUS Zenbook DUO (2026) ini dilengkapi bateri berkapasiti 99Wh – menjadikan laptop ini boleh digunakan kira-kira 18 jam sekiranya kedua-dua skrin dihidupkan.

Seperti laptop lain, ketahanan bateri sebenar boleh berubah mengikut aplikasi yang digunakan, tahap kecerahan skrin dan beban kerja. Namun, berdasarkan penggunaan saya, saya berpuas hati kerana baterinya mampu menemani rutin kerja dari pagi hingga petang.

Mudah Dibawa Dan Tahan Lasak

Menurut ASUS, laptop ini direka untuk memudahkan penggunaan di luar pejabat. Ia hadir dengan berat sekitar 1.35kg tanpa papan kekunci dan 1.65kg apabila papan kekunci disertakan.

Dari segi pengalaman penggunaan, saya boleh katakan beratnya masih boleh diterima. Namun, jika dibawa bersama barangan lain di dalam beg, berat keseluruhan mungkin terasa agak membebankan, terutama jika perlu bergerak dari satu tempat ke tempat lain sepanjang hari.

Dari sudut ketahanan pula, ASUS Zenbook DUO (2026) menggunakan binaan Ceraluminum pada keseluruhan casis, bersama engsel tersembunyi generasi baharu dan papan kekunci yang diperkukuh.

Gabungan ini direka untuk menyokong penggunaan harian, termasuk bagi mereka yang kerap membawa laptop ke luar pejabat.

Untuk pengetahuan anda juga, bahan Ceraluminum ini direka untuk menahan geseran, calar dan hentakan dalam penggunaan harian.

Berdasarkan pengalaman saya, permukaan laptop ini juga mudah dibersihkan dan tidak mudah memperlihatkan kesan cap jari, menjadikan laptop ini kelihatan lebih kemas walaupun digunakan sepanjang hari.

Adakah Saya Berpuas Hati Dengan ASUS Zenbook DUO (2026) Ini?

Jawapannya, ya.

Selepas mencuba ASUS Zenbook DUO (2026), saya melihatnya sebagai laptop yang sesuai untuk mereka yang perlu menguruskan pelbagai tugasan sepanjang hari. Bagi rutin kerja saya, laptop ini cukup berkuasa untuk mengendalikan pelbagai aplikasi serentak, daripada menyemak dokumen hinggalah menyunting gambar serta video.

Gabungan prestasi dan dua skrin OLED memberikan ruang kerja yang lebih luas, sekaligus memudahkan saya menguruskan tugasan tanpa perlu terlalu kerap bertukar antara tetingkap.

Kelebihan utamanya terletak pada ruang kerja yang lebih fleksibel. Saya boleh merujuk bahan pada skrin kedua tanpa perlu kerap bertukar antara tetingkap, selain menikmati paparan OLED yang cantik.

Ketahanan bateri yang mampu bertahan dari pagi hingga petang juga memudahkan saya meneruskan tugasan tanpa terlalu bergantung pada soket kuasa.

Namun, ASUS Zenbook DUO (2026) tetap mempunyai beberapa kompromi. Reka bentuk dua skrin ini juga memerlukan sedikit penyesuaian, terutama bagi pengguna yang sudah biasa dengan laptop konvensional.

Secara keseluruhan, ASUS Zenbook DUO (2026) merupakan pilihan menarik untuk pengguna yang sering mengendalikan banyak maklumat dan memerlukan ruang kerja yang lebih teratur.

Bagi yang berminat, laptop ini ditawarkan pada harga bermula RM12,999 – untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman rasmi ASUS ataupun ke rangkaian pengedar fizikal tempatan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd