PPUM Tawar Saringan Anemia Dan Vaksinasi Denggi Percuma Untuk Kanak-Kanak Di Lembah Klang
Lina Rosli
Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) memperluas program saringan anemia dan vaksinasi denggi percuma untuk kanak-kanak berumur 7 hingga bawah 12 tahun yang layak menerusi sesi komuniti tambahan pada hujung minggu di sekitar Lembah Klang.
Program ini bertujuan memudahkan keluarga mendapatkan akses kepada pemeriksaan kesihatan dan maklumat pencegahan denggi.
Tambah PPUM, saringan anemia ini ditawarkan bagi mengesan masalah kekurangan hemoglobin atau sel darah merah yang boleh menyebabkan kanak-kanak mudah letih, pucat, kurang bertenaga dan sukar menumpukan perhatian di sekolah.

Kanak-kanak yang mengalami anemia juga berisiko lebih tinggi mengalami denggi yang teruk. Oleh itu, pengesanan awal dan langkah pencegahan penting bagi mengurangkan risiko komplikasi serta kesan penyakit terhadap pembelajaran dan aktiviti harian mereka.
Antara Mei hingga Oktober 2026, lebih 3,600 kanak-kanak menyertai program ini, dengan 60 hingga 70 peratus memilih untuk menerima vaksinasi denggi. Untuk pengetahuan anda, sesi sebelum ini telah diadakan di Petaling Jaya, Ampang, Kepong, Subang dan Shah Alam.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam PPUM, Profesor Dr Rafdzah Ahmad Zaki, sesi tambahan pada hujung minggu diadakan bagi memudahkan lebih ramai ibu bapa membawa anak mereka menjalani saringan dan mendapatkan nasihat mengenai pencegahan denggi.
Antara lokasi program akan datang ialah SJK(C) Poi Min pada 24 Oktober, Masjid Subang Perdana pada 1 November, PPR Pinggiran Bukit Jalil pada 14 November, Apartment Idaman Damansara Damai pada 22 November dan PPR Lembah Subang 2 pada 28 November 2026.
Ibu bapa boleh mendaftarkan anak melalui pautan berikut:
- 24 Oktober – SJK(C) Poi Min, 11 pagi hingga 5 petang: [Daftar di sini]
- 1 November – Masjid Subang Perdana, 9 pagi hingga 3 petang: [Daftar di sini]
- 14 November – PPR Pinggiran Bukit Jalil, 9 pagi hingga 3 petang: [Daftar di sini]
- 22 November – Apartment Idaman Damansara Damai PJU 10/1, 9 pagi hingga 3 petang: [Daftar di sini]
- 28 November – PPR Lembah Subang 2, 9 pagi hingga 3 petang: [Daftar di sini]
Selain itu, ibu bapa boleh membawa anak yang layak ke PPUM tanpa janji temu sehingga 30 Oktober 2026, dari Selasa hingga Jumaat, antara 9 pagi hingga 4 petang.
Perkhidmatan ini terletak di Aras 5, Kompleks Kesihatan Wanita dan Kanak-kanak, PPUM. Pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan ini.

Program ini terbuka kepada kanak-kanak berumur tujuh hingga bawah 12 tahun yang belum pernah menerima vaksin denggi.
Klinik PPUM menerima kanak-kanak yang menetap atau bersekolah di daerah Petaling, Kuala Lumpur atau Ampang, manakala kelayakan bagi sesi komuniti perlu disahkan dengan pihak penganjur. Vaksinasi adalah pilihan dan tertakluk pada kelayakan serta ketersediaan stok.
Selain mendapatkan vaksin pencegahan, ibu bapa juga digalakkan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk, melindungi anak daripada gigitan nyamuk dan mendapatkan nasihat perubatan segera jika mengesyaki jangkitan denggi.