Spesies Kucing Liar Baharu Ditemui Di Bolivia

October 22, 2026
fakta menarik

Lina Rosli

Baru-baru ini, saintis telah menemui spesies kucing liar baharu yang dikenali sebagai Leopardus tilcayo di kawasan hutan Andes, Bolivia.

Penemuan ini direkodkan di Guinness World Records yang mana ia merupakan penemuan yang menarik perhatian dunia sains kerana ia merupakan spesies baharu dalam keluarga kucing (Felidae) yang dikenal pasti selepas 100 tahun.

Untuk pengetahuan anda, kucing ini telahpun ditemukan sejak tahun 2017, dan kini berada di pusat perlindungan hidupan liar Senda Verde.

Pada awalnya, saintis menyangka kucing ini merupakan salah satu spesies dalam kumpulan kucing harimau kecil atau tiger cats. Namun, corak bulunya yang berbeza daripada spesies lain mendorong ahli biologi menjalankan kajian lanjut bagi mengenal pasti identitinya.

Sebelum ini, kajian genetik turut membawa kepada perubahan dalam pengelasan kumpulan kucing tersebut.

Pada 2013, Leopardus tigrinus dan Leopardus guttulus dikenal pasti sebagai dua spesies berbeza. Kajian seterusnya pada tahun 2023 hingga 2024 pula mengiktiraf Leopardus narinensis dan Leopardus pardinoides sebagai spesies tersendiri.

Dengan pengiktirafan Leopardus tilcayo, kumpulan kucing harimau kecil kini merangkumi lima spesies. Saintis percaya masih terdapat kemungkinan spesies lain yang belum dikenal pasti dan memerlukan kajian lanjut.

Menurut saintis lagi, Leopardus tilcayo ini berasal dari keturunan evolusi yang dipercayai berpisah daripada saudara terdekatnya kira-kira 1.43 juta tahun lalu.

Dari segi fizikal, Leopardus tilcayo mempunyai bulu lebih pendek, corak warna yang kurang ketara serta tompok berbentuk roset terbuka yang lebih besar dan tidak sekata berbanding Leopardus pardinoides, atau clouded tiger cat. Ekornya juga kurang lebat dan tidak mempunyai jalur lebar yang lengkap.

Jika dibandingkan dengan Leopardus tigrinus, spesies ini pula mempunyai corak tompok yang lebih besar dan pelbagai, selain ekor yang agak panjang.

Walau bagaimanapun, perbezaan paling jelas antara Leopardus tilcayo dengan spesies lain dalam genus Leopardus dapat dikenal pasti melalui analisis genetik. Penyelidik mendapati spesies ini mempunyai ciri molekul tersendiri yang membolehkannya dibezakan daripada spesies lain dalam kumpulan tersebut.

Walaupun penemuan ini membuka lembaran baharu dalam kajian hidupan liar, jumlah populasi Leopardus tilcayo masih belum diketahui.

Setakat ini, hanya seekor individu diketahui berada dalam kurungan, manakala taburan dan populasinya di habitat semula jadi masih memerlukan kajian lanjut.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd