Melbourne Dinobatkan Antara Bandar Terbaik Dunia 2027, Ini Tarikan Baharu Yang Menanti
Lina Rosli
Melbourne, Australia, disenaraikan antara destinasi terbaik dunia dalam senarai Best of the World 2027 oleh National Geographic.
Melbourne juga menjadi satu-satunya destinasi dari Australia yang tersenarai tahun ini.
Pengiktirafan ini menonjolkan tarikan Melbourne yang terkenal dengan seni, budaya, lorong bersejarah dan kepelbagaian makanan.

Antara lokasi yang boleh diterokai termasuk Flinders Lane, Hosier Lane dan Royal Botanic Gardens Victoria.
Pengunjung juga boleh melawat pameran NGV Triennial yang berlangsung dari pertengahan Disember 2026 hingga pertengahan April 2027.

Bagi yang merancang percutian ke Melbourne pada 2027, terdapat beberapa tarikan baharu yang boleh dimasukkan dalam senarai perjalanan.
Antaranya ialah Keerray Woorroong Visitor Centre di kawasan Twelve Apostles, sepanjang Great Ocean Road. Pusat pelawat ini menampilkan pameran interaktif, taman tumbuhan tempatan dan dek pemerhatian dengan pemandangan Lautan Selatan.

Peminat seni pula boleh mengunjungi pameran Plant Life: The Nature of Design di National Gallery of Victoria (NGV) yang berlangsung hingga 7 Februari 2027.
Pameran ini menampilkan lebih 60 karya yang meneroka penggunaan bahan berasaskan tumbuhan dalam reka bentuk, seni bina dan seni.

Bagi yang mencari tempat untuk berehat, Corcorans Lookout di Yarra Valley menawarkan tiga kabin persendirian dengan kemudahan seperti sauna, tab mandi terbuka dan kawasan unggun api. Penginapan khusus untuk orang dewasa ini terletak kira-kira sejam dari Melbourne.
Melbourne turut menawarkan pilihan tempat makan baharu, termasuk Petit Crenn, restoran pertama di Australia oleh chef Dominique Crenn, serta ÉN yang menyajikan masakan Jepun menerusi konsep Kappo.

Di St Kilda, pengunjung juga boleh menikmati hidangan berinspirasikan masakan Eropah Selatan di Marea Beach House & Bar.
Selain tarikan di bandar, pengunjung boleh mencuba pelayaran PS Australian Star di Sungai Murray selama tiga hingga tujuh malam, lengkap dengan penginapan, hidangan dan lawatan ke kawasan sekitarnya.

Dengan pilihan seni, makanan, alam semula jadi dan pengalaman penginapan yang pelbagai, Melbourne menawarkan pelbagai aktiviti untuk diterokai pada 2027.
Untuk maklumat lanjut, layari Visit Melbourne.