Steers Buka Pandu Lalu Pertama di Malaysia, Debonairs Pizza Turut Dibuka di PETRONAS Mutiara Damansara
Lina Rosli
Steers kini memperkenalkan perkhidmatan pandu lalu pertamanya di Malaysia di Stesen PETRONAS Mutiara Damansara.
Lokasi ini turut menempatkan Debonairs Pizza, sekaligus membawa dua jenama makanan dari Afrika Selatan itu ke bawah satu bumbung.
Pembukaan kedua-dua restoran ini diumumkan oleh Mesra Retail & Café Sdn Bhd (MESRA), cabang perniagaan runcit PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) yang mengendalikan kedua-dua jenama tersebut di Malaysia.

Bagi yang tidak mengetahui, Steers terkenal dengan burger dan ayam panggang atas api, manakala Debonairs Pizza menawarkan piza dengan topping yang banyak.
Untuk pengetahuan anda juga, Mutiara Damansara kini menjadi lokasi kedua bagi kedua-dua jenama ini di Malaysia selepas cawangan pertama dibuka di Bangi pada Disember 2025.

Sekiranya anda baru pertama kali ingin mencuba, Steers menampilkan burger yang menggunakan 100% daging lembu asli, roti yang dibakar segar, sos barbeku istimewa dan kentang goreng berperisa.
Burger serta ayamnya disediakan mengikut pesanan dan dipanggang atas api untuk menghasilkan aroma berasap yang menjadi identiti jenama tersebut.

Sementara Debonairs Pizza pula menawarkan doh yang disediakan segar, sos istimewa dan piza dengan topping yang banyak. Pilihan menunya sesuai untuk dinikmati bersama keluarga dan rakan, sama ada ketika menjamu selera di restoran atau dibawa pulang untuk makan bersama.
Kedua-dua restoran ini turut menggunakan bahan-bahan yang diperakui halal, memberikan lebih banyak pilihan makanan kepada pelanggan yang singgah di Stesen PETRONAS Mutiara Damansara.

Untuk makluman, MESRA memegang lesen induk eksklusif bagi kedua-dua jenama ini dan merancang bakal hadir dengan beberapa cawangan lagi di sekitar Lembah Klang.