118 Mall Dibuka 1 November, Tampilkan Lebih 300 Kedai Untuk Dikunjungi
Lina Rosli
Kuala Lumpur bakal hadir dengan satu lagi destinasi beli-belah baharu apabila 118 Mall membuka pintunya kepada pengunjung pada 1 November ini.
Terletak di kaki Menara Merdeka 118, bangunan kedua tertinggi di dunia, pusat beli-belah ini menawarkan gabungan jenama tempatan dan antarabangsa, pilihan makanan serta ruang yang meraikan seni dan budaya Malaysia.

Mengangkat tema “Live Your Story”, 118 Mall mengetengahkan pengalaman membeli-belah yang menggabungkan fesyen, makanan, kreativiti dan budaya.
Dengan lebih 300 kedai yang bakal beroperasi, destinasi ini turut memberi tumpuan kepada jenama tempatan serta pengalaman yang mencerminkan identiti Malaysia.

Bagi yang tidak mengetahui, 118 Mall terletak dalam kawasan pembangunan Merdeka 118, bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara. Lokasinya juga tidak jauh dari Petaling Street serta beberapa tarikan lain di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur.
Selain pusat beli-belah, kawasan ini turut menempatkan Merdeka Boulevard at 118, Masjid Al-Sultan Abdullah, Muzium Tekstil dan Park Hyatt Kuala Lumpur. Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh menerokai The View at 118, dek pemerhatian di Menara Merdeka 118.

Lebih 300 Kedai Daripada Jenama Tempatan Dan Antarabangsa
Antara jenama yang bakal mengisi ruang runcit 118 Mall termasuk SOGO118 yang mengetengahkan konsep baharu gedung beli-belah SOGO.
Pilihan fesyen dan gaya hidup pula merangkumi Coach, Hackett London, Cole Haan, Skechers, Decathlon, ASICS dan Li-Ning.

Pengunjung turut boleh mendapatkan barangan keperluan harian di Village Grocer, selain menerokai pilihan produk untuk keluarga menerusi HappiKiddo dan Babyshop.
Habib Jewels pula antara jenama tempatan yang turut menyertai senarai penyewa.
Malaysian Artisan District Dan Makanizm Food Hall
Salah satu tarikan utama 118 Mall ialah Malaysian Artisan District (MAD) yang terletak di Aras 3. Dengan keluasan lebih 60,000 kaki persegi, ruang ini dikhususkan untuk mengetengahkan hasil seni, kraf tempatan dan kreativiti Malaysia.
Antara jenama yang boleh diterokai termasuk Artiseni, Batik Boutique, BookXcess, Lokal Dots, Tenmoku Pottery, Toko Art dan I Love KL.

Di aras yang sama, Makanizm Food Hall pula menghimpunkan pelbagai pilihan makanan dengan cita rasa tempatan dan antarabangsa.
Antara jenama yang disenaraikan termasuk Cili Kampung, Nyonya Colors, Serai, Absolute Thai, Oiso Korean, Dolly Dim Sum dan Mee Hiris China Muslim.
Pilihan lain termasuk KFC, Nando’s, Secret Recipe, Rotiboy, ZUS Coffee, Eight Ounce Coffee, Oriental Kopi, Beutea dan Brotani Juice.
Bagi pencinta kopi serta pencuci mulut, terdapat juga Kenny Hills Cafe, Beryl’s Chocolate, Cherita Chocolates, CookieCrumbs dan O’Briens Irish Sandwich Café.

The Atmosphere Dan Raincloud Jadi Tarikan Utama
Selain membeli-belah dan menjamu selera, 118 Mall turut menyediakan ruang untuk acara serta pengalaman santai. The Atmosphere di Aras 4 menampilkan kubah kaca setinggi 88 meter.
Kawasan ini turut dilengkapi skrin LED dan landskap hijau, menjadikannya lokasi sesuai untuk pelbagai acara termasuk pertunjukan fesyen dan festival.


Sementara itu, Raincloud menampilkan ciri air bertingkat dengan paparan cahaya yang memberikan pengalaman visual tersendiri kepada pengunjung.
Untuk maklumat lanjut mengenai 118 Mall dan senarai jenama yang ditawarkan, layari laman web rasmi 118 Mall.