MINI Malaysia Memperkenalkan Semula Program MINI NEXT

November 2, 2026
Automotif

Lina Rosli

MINI Malaysia memperkenalkan semula program MINI NEXT yang menawarkan pilihan kenderaan pra-milik bertauliah dengan pemeriksaan menyeluruh, sejarah servis yang disahkan serta proses baik pulih mengikut piawaian jenama tersebut.

Menurut jenama ini, MINI NEXT diperkenalkan bagi tujuan memberikan lebih keyakinan kepada pelanggan yang ingin memiliki sebuah MINI terpakai tanpa perlu berkompromi dari segi kualiti dan pengalaman pemanduan.

Menerusi program ini, setiap kenderaan menjalani pemeriksaan 360 darjah yang merangkumi bahagian dalaman, luaran, mekanikal dan sistem keselamatan.

Pemeriksaan tersebut turut disokong dengan sesi pandu uji serta penilaian akhir bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum menerima pensijilan MINI NEXT.

Selain keadaan kenderaan, pelanggan juga boleh menyemak sejarah servis dan rekod penggunaannya yang telah disahkan. Ini termasuk maklumat berkaitan bacaan perbatuan dan penyelenggaraan bagi membantu pelanggan membuat keputusan pembelian dengan lebih yakin.

Menariknya, MINI NEXT turut menawarkan peluang tukar beli dengan nilai yang kompetitif, termasuk untuk kenderaan daripada jenama lain. Ini membolehkan pelanggan menukar kenderaan sedia ada kepada sebuah MINI melalui proses yang lebih mudah.

Bagi model MINI pra-milik bertauliah terpilih yang lebih baharu, pelanggan juga boleh menikmati baki manfaat MINI Service & Repair Inclusive serta MINI Roadside Assistance yang masih sah.

Program ini turut merangkumi pilihan MINI Battery Electric Vehicle (BEV) pra-milik, sekaligus memberikan pelanggan peluang untuk memiliki model elektrik MINI dengan keyakinan tambahan melalui proses pensijilan rasmi.

Dengan pilihan model yang merangkumi kenderaan untuk kegunaan bandar, crossover dan model elektrik, MINI NEXT menawarkan alternatif kepada mereka yang ingin menikmati pengalaman pemanduan MINI pada harga yang lebih menarik.

Pelanggan yang berminat boleh mengunjungi pengedar MINI bertauliah terdekat atau melayari laman rasmi MINI Malaysia untuk mengetahui senarai model MINI NEXT yang tersedia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd