Unit CKD GWM ORA 5 Hi2 HEV Telah Siap Dipasang Di Melaka

November 2, 2026
Automotif

Lina Rosli

Nampaknya, GWM ORA 5 Hi2 HEV semakin hampir dilancarkan di Malaysia selepas unit pertama yang dipasang secara tempatan selesai dikeluarkan dari kilang EP Manufacturing Bhd. (EPMB) di Melaka.

Dijadualkan membuat penampilan sulung di Malaysia pada November 2026, model ini hadir ketika GWM Malaysia meraikan ulang tahun keempat operasinya di negara ini.

Dari segi prestasi, GWM ORA 5 Hi2 HEV menggunakan enjin turbo 1.5 liter bersama motor elektrik yang menghasilkan kuasa gabungan 223 PS dan tork 476 Nm.

Sistem hibrid ini dipadankan dengan transmisi hibrid khusus dua kelajuan (DHT) bagi memberikan pengalaman pemanduan yang lebih lancar dan responsif.

SUV ini turut mencatatkan penggunaan bahan api serendah 4.4 liter bagi setiap 100 km, dengan jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,100 km berdasarkan keadaan ujian yang ditetapkan. Sebagai model hibrid, ia tidak memerlukan pengecasan luaran untuk beroperasi.

Dari segi pengiktirafan, GWM ORA 5 pernah menerima anugerah Design of the Year di London Design Awards 2025.

Model ini turut memenangi Best Interior Design Award (Family Car) di TADA 2026, selain mencatatkan rekod GUINNESS WORLD RECORDS bagi penggunaan bahan api terendah oleh SUV hibrid elektrik produksi dalam perjalanan sejauh 3,004 km merentasi bandar perbandaran di China yang ditadbir secara langsung oleh kerajaan pusat, dengan catatan 3.74 liter bagi setiap 100 km.

Selain model baharu ini, barisan kenderaan pemasangan tempatan GWM turut merangkumi HAVAL H6 HEV serta WEY G9 Hi4 dalam versi PHEV dan HEV.

Setakat ini, lebih 10,000 kenderaan GWM telah dipasang secara tempatan. Malah, lebih 1,100 unit WEY G9 pemasangan Malaysia telah dieksport ke Thailand dan Indonesia, sekaligus memperkukuh peranan negara ini dalam rangkaian pembuatan serantau GWM.

Bagi yang berminat mendapatkan GWM ORA 5 Hi2 HEV, tempahan kini dibuka menerusi pengedar sah GWM di seluruh negara.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd