Siri Xiaomi 18 Pro Dilancarkan Pada Harga Bermula RM4,499
Lina Rosli
Xiaomi secara rasmi melancarkan siri telefon pintar mercu terbaharunya iaitu siri Xiaomi 18 Pro di Malaysia – Xiaomi 18 Pro dan Xiaomi 18 Pro Max.
Kedua-dua model hadir dengan beberapa peningkatan dari segi fotografi, prestasi dan ciri kecerdasan buatan (AI), selain menampilkan Back Display sebagai antara ciri utama.

Bagi yang tidak mengetahui, ciri Back Display pada bahagian belakang telefon ini bukan sekadar memaparkan notifikasi, malah boleh digunakan sebagai viewfinder untuk mengambil swafoto, gambar berkumpulan dan merakam video menggunakan kamera belakang.
Ia turut menyokong fungsi AI Interpreter untuk terjemahan masa nyata dalam 29 bahasa serta membolehkan pengguna mengakses aplikasi mini.
Dari segi fotografi, kedua-dua model dilengkapi sistem kamera Leica Dual-200MP yang menggabungkan kamera utama dan telefoto periskop.
Xiaomi 18 Pro Max turut menawarkan zum setaraf optik sehingga 150mm serta fungsi telemakro 120mm.
Untuk rakaman video, pengguna boleh merakam sehingga resolusi 8K pada 30fps dan 4K pada 120fps dengan Dolby Vision.

Bagi prestasi, Xiaomi 18 Pro Max menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6, manakala Xiaomi 18 Pro dilengkapi Snapdragon 8 Elite Gen 6.
Kedua-duanya turut menjalankan Xiaomi HyperOS 4 dan menyokong teknologi Xiaomi Privacy Display untuk mengehadkan sudut pandangan skrin di tempat awam.


Kapasiti bateri pula berbeza mengikut model. Xiaomi 18 Pro Max dilengkapi bateri 7,050mAh dengan pengecasan berwayar 100W dan tanpa wayar 50W. Xiaomi 18 Pro pula menggunakan bateri 6,000mAh dengan pengecasan berwayar 90W dan tanpa wayar 50W.
Di Malaysia, Xiaomi 18 Pro Series ditawarkan dalam pilihan warna Velvet Red, Cosmic Blue, White dan Black dengan harga seperti berikut:

| Model | Harga Asal | Harga Promosi |
|---|---|---|
| Xiaomi 18 Pro Max (12GB + 512GB) | RM6,499 | RM5,999 |
| Xiaomi 18 Pro Max (12GB + 256GB) | RM5,999 | RM5,499 |
| Xiaomi 18 Pro (12GB + 512GB) | RM5,299 | RM4,999 |
| Xiaomi 18 Pro (12GB + 256GB) | RM4,799 | RM4,499 |


Tempoh prapesanan berlangsung dari 18 hingga 26 November 2026 menerusi Xiaomi Store, mi.com serta kedai rasmi Xiaomi di Shopee, Lazada dan TikTok Shop.
Bukan itu sahaja, anda juga layak menerima Xiaomi Watch S5 46mm bernilai RM799 secara percuma, tertakluk pada stok dan konfigurasi yang dipilih. Tawaran hadiah ini tidak termasuk Xiaomi 18 Pro versi 12GB + 256GB.

Pembeli turut menikmati beberapa perlindungan tambahan termasuk penggantian percuma skrin utama, bateri serta komponen terpilih dalam tempoh jaminan yang ditetapkan. Pelanggan CelcomDigi pula boleh menikmati tawaran prapesanan tambahan bernilai sehingga RM4,045.