PROTON S70 RS 2027 Kini Dibuka Untuk Tempahan, Rebat RM1,000 Ditawarkan

November 19, 2026
Automotif

Lina Rosli

PROTON kini membuka tempahan bagi PROTON S70 RS 2027 di semua pusat jualan Proton yang sah di seluruh negara.

Model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium dan Sportline, sekaligus menggantikan varian S70 turbo sedia ada.

PROTON S70 RS menggunakan enjin turbo 1.5 liter i-GT yang dipadankan dengan transmisi DCT tujuh kelajuan. Ia menghasilkan kuasa 181PS dan tork 290Nm, dengan kemampuan memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 7.5 saat.

Dari segi reka bentuk, model ini menerima gril hadapan, bonet dan bampar baharu, selain skirt sisi, spoiler belakang serta rim aloi 17 inci.

Ruang kabinnya pula menampilkan kemasan hitam dengan aksen merah, pencahayaan ambien 256 warna dan konsol tengah yang direka semula.

Untuk keselamatan, PROTON S70 RS dilengkapi ciri ADAS seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keep Assist (LKA) dan Blind Spot Detection (BSD). Ia turut hadir dengan enam beg udara serta sistem kamera HD 540 darjah.

Antara ciri teknologi lain termasuk skrin inforia 14.6 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto nirwayar. Sistem arahan suara Hi PROTON juga kini menyokong pengecaman suara Bahasa Melayu.

Bukan itu sahaja, pengguna turut boleh mengakses aplikasi TikTok, navigasi dalam talian, penstriman muzik dan maklumat cuaca terus melalui sistem inforia.

Selain itu, PROTON S70 RS dilengkapi pengecas tanpa wayar dan lima port USB – turut menyokong PROTON Link 2.0 dengan jam tangan pintar Huawei untuk mengakses fungsi kenderaan.

Bagi yang berminat, anda yang membuat tempahan sebelum 1 Disember 2026 untuk menikmati rebat awal sebanyak RM1,000. Tawaran ini tertakluk kepada pendaftaran kenderaan selewat-lewatnya pada 31 Mac 2027.

Harga bagi kedua-dua varian masih belum diumumkan. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman rasmi PROTON.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd