LEGO x 118 Mall Memperlihatkan Tarikan Bertemakan The Living Storybook

November 19, 2026
Gaya Hidup

Lina Rosli

118 Mall kini membawakan tarikan LEGO Santa’s Toy Factory menerusi kerjasama dengan The LEGO Group sempena sambutan perayaan pertamanya.

Tarikan yang meliputi ruang seluas 5,769 kaki persegi ini berlangsung sehingga 27 Disember 2026 di The Atmosphere, Aras 4.

Menerusi aktiviti ini, pengunjung berpeluang menerokai pelbagai binaan LEGO, dekorasi menarik, patung LEGO Minifigure bersaiz manusia – selain turut boleh menyertai empat cabaran interaktif iaitu

  • Team Photo – Pilih LEGO Minifigure kegemaran dan dapatkan kad pengenalan khas sebelum menyertai pasukan LEGO Santa’s Toy Factory.
  • Snowman’s Gift Racer – Bina kereta luncur mini menggunakan bata LEGO dan uji sejauh mana ia boleh bergerak di landasan yang disediakan.
  • Gingerbread’s Bakery – Gunakan bata LEGO berwarna-warni untuk menghias corak biskut mengikut kreativiti sendiri.
  • Santa’s Sorting Station – Uji ketangkasan dengan mengarahkan bata LEGO melalui laluan yang betul ke dalam bekas mengikut warna.

Peserta akan menerima cop pada Factory Mission Badge bagi setiap cabaran yang berjaya diselesaikan.

Kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun yang melengkapkan cabaran layak menebus set LEGO Make & Take eksklusif, manakala peserta berusia 13 tahun ke atas akan menerima baucar LEGO. Ganjaran adalah tertakluk kepada ketersediaan stok.

Selain cabaran interaktif, pengunjung juga berpeluang menyertai sesi bergambar bersama maskot LEGO Santa dan LEGO Reindeer pada setiap Sabtu dan Ahad sepanjang tempoh kempen, serta 24 dan 25 Disember 2026.

Pengunjung yang membuat pembelian di ruang jualan LEGO turut boleh menyertai aktiviti Santa’s Gift Launcher pada setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Disember, serta 24 dan 25 Disember.

Sebanyak 50 hadiah LEGO disediakan bagi setiap sesi untuk peserta yang mengambil bahagian.

Sebagai tambahan, 118 Mall menawarkan promosi Gift with Purchase (GWP). Pengunjung yang berbelanja minimum RM500 menerusi maksimum tiga resit pada hari yang sama layak menebus set hadiah LEGO eksklusif.

Pengguna kad Maybank atau Maybank Scan & Pay pula hanya perlu berbelanja minimum RM400.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti dan promosi, layari laman rasmi 118 Mall atau ikuti akaun Instagram dan TikTok @118mall.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd