PUMA Hadir Dengan Koleksi Baharu Bersama Scuderia Ferrari HP, Harga Bermula RM499

November 23, 2026
Fesyen

Lina Rosli

PUMA dan Scuderia Ferrari HP memperkenalkan koleksi pakaian Replica terbaharu yang diinspirasikan daripada suasana perlumbaan Formula 1 di Las Vegas.

Koleksi ini turut diperagakan oleh pelumba Ferrari, Lewis Hamilton dan Charles Leclerc sepanjang hujung minggu perlumbaan tersebut.

Mengambil inspirasi daripada suasana Las Vegas pada waktu malam serta landskap gurun yang tenang, koleksi ini menggabungkan elemen perlumbaan dengan rekaan yang menampilkan warna hitam dan kuning.

Motif galaksi turut digunakan bagi memberikan identiti tersendiri kepada koleksi berkenaan.

Koleksi ini merangkumi empat produk utama, bermula dengan SF Replica Special Las Vegas Jacket yang menampilkan warna asas hitam bersama motif galaksi berwarna kuning. Rekaannya diinspirasikan daripada suasana perlumbaan pada waktu malam.

Selain itu, koleksi ini turut merangkumi Las Vegas Tee dan Las Vegas Cap yang menampilkan gabungan warna sama seperti yang digunakan oleh Hamilton dan Leclerc sepanjang acara perlumbaan di Las Vegas.

Melengkapkan koleksi tersebut ialah kasut PUMA Speedcat Pro yang membawa elemen gaya sukan permotoran ke dalam penampilan harian.

Bagi yang berminat, koleksi PUMA for Scuderia Ferrari HP Replica kini boleh didapati menerusi laman rasmi PUMA Malaysia dan beberapa cawangan terpilih pada harga bermula RM499.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian, layari laman rasmi PUMA Malaysia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd