Acer Malaysia Memperkenalkan Acerpure PRO P5 – Penapis Udara Untuk Rumah Dengan Haiwan Peliharaan
Lina Rosli
Acer Malaysia memperkenalkan penapis udara baharu, Acerpure Siri PRO P5 yang direka khusus untuk membantu mengekalkan kebersihan udara di rumah, terutamanya bagi mereka yang mempunyai haiwan peliharaan.
Produk ini hadir dengan beberapa ciri khas termasuk sistem perangkap bulu haiwan, teknologi pengurangan bau dan penapisan udara berbilang lapisan.

Menurut Acer, Acerpure PRO P5 dilengkapi lubang udara yang lebih lebar —membolehkannya memerangkap bulu haiwan sehingga 37% lebih cekap berbanding reka bentuk biasa.
Dari segi rekaan, penapis udara ini mempunyai reka bentuk yang kukuh, kalis calar dan kalis air bagi meningkatkan ketahanan ketika digunakan di rumah yang mempunyai haiwan peliharaan. Ia turut dilengkapi ciri kunci kanak-kanak bagi mengelakkan tetapan diubah secara tidak sengaja.

Manakala dari segi penapisan pula, peranti ini menggunakan sistem berbilang lapisan yang merangkumi pra penapis boleh tanggal dan dicuci, penapis HEPA atau HEPA gred H13, karbon aktif serta UVC terbina dalam.
Sistem ini membantu memerangkap zarah sekecil 0.3 mikron termasuk habuk, kelemumur haiwan dan debunga, selain mengurangkan bau yang tidak diingini.

Menariknya, Acerpure PRO P5 turut dilengkapi Teknologi PINOKI Ion Acerpure yang dipatenkan. Menggunakan aloi berasaskan nikel bertaraf aeroangkasa, teknologi ini menghasilkan ion positif dan negatif yang seimbang melalui tindak balas dengan oksigen di udara.
Ia menawarkan empat manfaat utama iaitu membantu meneutralkan alergen bawaan udara, menguraikan molekul bau dan VOC, mengawal pembiakan bakteria serta virus, dan mengurangkan cas elektrostatik bagi membantu mengekalkan kelembapan udara.

Untuk penggunaan harian, mod AI melaraskan kadar pembersihan berdasarkan kualiti udara semasa, manakala mod Tidur memastikan operasi lebih senyap pada tahap bunyi di bawah 29dB.

Bukan itu sahaja, pengguna juga boleh mengawal peranti dari jarak jauh melalui aplikasi Acerpure HOME.
Bagi yang berminat, Acerpure PRO P5 ditawarkan dalam tiga pilihan iaitu PRO P5 MAX pada harga RM1,399, PRO P5 pada harga RM999 dan PRO P5 MINI pada harga RM499.

Sempena pelancaran, Acer Malaysia menawarkan potongan harga sehingga RM500, penapis HEPA gantian bernilai RM159 secara percuma serta kredit eWallet Touch ‘n Go sehingga RM100.
Promosi berlangsung dari 25 November hingga 12 Disember 2026, sementara stok masih tersedia.