Acerpure COZY F6 Diperkenalkan, Kipas Pintar Dengan Sensor Suhu AI
Lina Rosli
Selain penapis udara Acerpure Pro P5, Acer Malaysia turut memperkenalkan Acerpure COZY F6, kipas pengedaran udara pintar yang dilengkapi dengan pelarasan kelajuan automatik dan aliran udara yang lebih menyeluruh.
Kipas ini dilengkapi sensor suhu AI yang mengesan suhu persekitaran secara masa nyata sebelum melaraskan kelajuannya secara automatik.

Pengguna turut boleh memilih daripada 32 tetapan kelajuan mengikut keselesaan masing-masing.
Dari segi pengedaran udara, Acerpure COZY F6 mampu menghasilkan aliran udara sehingga 25 meter dengan liputan kawasan seluas 100 meter persegi.
Ia turut menyokong putaran 120 darjah bagi membantu mengedarkan udara ke seluruh ruang.

Selain itu, kipas ini dilengkapi Teknologi PINOKI Ion Acerpure yang dipatenkan. Ia menghasilkan ion positif dan negatif yang seimbang untuk membantu meneutralkan alergen bawaan udara, menguraikan molekul bau serta mengawal pembiakan bakteria dan virus.
Ia juga membantu mengurangkan cas elektrostatik bagi mengekalkan kelembapan udara.

Selain itu, Acerpure COZY F6 menggunakan motor BLDC yang cekap tenaga dan beroperasi pada tahap bunyi serendah 30dB.
Reka bentuknya turut dilengkapi ketinggian boleh laras serta gril belakang bermagnet dan gril hadapan satu skru bagi memudahkan proses pembersihan.

Bagi yang ingin mendapatkannya, Acerpure COZY F6 ditawarkan pada harga RM699 melalui penjual rasmi Acer dan kedai atas talian Acer.

Sempena pelancaran, pembeli akan menikmati potongan harga RM100, kredit eWallet Touch ‘n Go bernilai RM40 serta Kipas Tangan Acerpure HF1 bernilai RM199 secara percuma.
Promosi berlangsung dari 25 November hingga 12 Disember 2026, sementara stok masih tersedia.