PARKROYAL COLLECTION KL Dinobatkan Sebagai Hotel Bandar Hijau Terkemuka Dunia
Lina Rosli
Sebuah hotel di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur telahpun dibuka secara rasmi iaitu PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur. Ia merupakan hotel dengan jumlah 527 bilik yang telah dibangunkan di kompleks yang dimiliki oleh UOL Group Limited iaitu syarikat induk Pan Pacific Hotels Group.
Bergerak ke hadapan, Pan Pacific Hotels Group dijangka akan turut memperkenalkan Pan Pacific Serviced Suites Kuala Lumpur yang akan dibuka pada separuh kedua 2022 dengan menawarkan 210 suite mewah.

Untuk pengetahuan anda lagi, PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur sebelum ini telah dinobatkan sebagai ‘Hotel Bandar Hijau Terkemuka di Dunia’ di World Travel Awards, sementara cawangan mereka di Marina Bay Singapura pula memenangi anugerag ‘World Responsible Tourism Awards 2021’ oleh World Travel Mart .
Bercerita lanjut mengenai PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur, hotel ini menampilkan rekaan dan seni bina yang mendapat inspirasi melalui tona tanah dan kemasan kayu yang menjadi signature kepada jenama PARKROYAL COLLECTION.
Ia turut menyediakan pengalaman gaya hidup dalam suasana yang mewah tetapi masih mengekalkan reka bentuk biofiliknya. Hotel ini juga menampilkan operasi yang mementingkan alam sekitar termasuk kemudahan bilik mandi yang mampan, pembungkusan terbiodegradasi, penyelesaian air minuman yang ditapis di setiap bilik tetamu, dan sistem pengurusan sisa makanan.
Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur bermula hari ini.