Chikin Ramen – Jenama Mi Segera Pertama Yang Diperkenalkan Pada Tahun 1958

July 4, 2022
Uncategorized

Lina Rosli

Menjadi antara hidangan yang cukup popular dalam kalangan generasi muda, mi segera atau turut dikenali sebagai ramen dan ramyeon memperlihatkan peningkatan permintaan secara global.

Menurut laporan Rnggt, permintaan mi segera dari Korea Selatan dilihat telah melonjak naik selama 7 tahun berturut-turun sekaligus mencatatkan nilai rekod eksport yang tinggi pada akhir Januari 2022 iaitu melebihi AS$670 juta pada paparan.

Mengenai mi segera lagi, antara faktor yang mendorong kepada peningkatan permintaan mi segera dalam kalangan pembeli mungkin dipengaruhi oleh cara penyediaannya yang ringkas dan pantas. Jika anda perasan, penyediaan hidangan mi segera tidak hanya boleh dilakukan oleh individu yang tahu memasak sahaja tetapi juga individu yang tidak mempunyai kebolehan memasak.

Selain itu juga, kebanyakan mi segera masa kini juga telah banyak ditambahbaik dengan penawaran perisa yang lebih meluas dan memenuhi citarasa pembeli. Tidak hanya tertumpu kepada perisa tradisional, rata-rata mi segera sudah mula hadir dengan rasa yang lebih moden seperti sos bolognese, sos carbonara dan banyak lagi.

Tahukah Anda Jenama Mi Segera Pertama Di Pasaran?

Bagi yang tidak mengetahui, mi segera pertama yang ditawarkan di pasaran adalah pada 25 Ogos 1958 yang dicipta oleh Momofuku Ando yang berasal dari Jepun.

Ditawarkan di bawah jenama Chikin Ramen, Momofuku Ando telah membangunkan kaedah pengeluaran mi goreng yang dikeringkan bagi memberikan jangka hayat yang lebih lama.

Bertepatan dengan slogan “Immediately Tasty, Very Tasty”, Chikin Ramen menampilkan langkah penyediaan yang mudah untuk diikuti orang ramai. Hanya perlu rendam dan masak mi di dalam air panas selama 3 minit, anda boleh mendapatkan satu hidangan yang mengenyangkan pada harga 35 yen sahaja.

Ditambah lagi dengan rasa tambahan yang seakan sama dengan hidangan lengkap biasa, maka tidak hairanlah mengapa ramai dalam kalangan rakyat Jepun pada masa itu meminati hidangan mi segera.

Selepas kejayaan Nissin Foods dalam memperkenalkan Chikin Ramen dalam bentuk pek plastik, pada tahun 1971, mereka turut hadir dengan produk yang sama tetapi dalam bentuk cawan sekaligus menjadikannya produk mi cawan pertama di dunia.

Sumber: Dekook

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd