Bagaimana Teknologi Perubatan Moden Mampu Bantu Tangani Masalah Kesuburan?

July 19, 2022
Uncategorized

Lina Rosli

Secara umumnya, terdapat pelbagai faktor yang boleh menyumbang kepada kelewatan dalam fasa berkeluarga. Dan antara yang utama termasuklah perubahan gaya hidup, perkahwinan lewat serta status ekonomi atau kewangan yang kurang stabil.

Selain faktor luaran yang dinyatakan, individu juga berpotensi mengalami faktor dalaman yang turut mempengaruhi fasa berkeluarga iaitu usia. Tidak dinafikan bahawa usia hanyalah angka, namun ia akan memberi kesan kepada tahap kesuburan seseorang individu, lebih-lebih lagi wanita yang mana ia akan mula berkurangan pada awal 30-an sekaligus mendorong kepada komplikasi kehamilan.

Oleh itu, dengan adanya kemajuan teknologi perubatan yang canggih dan terkini di Malaysia, masalah ini nampaknya boleh ditangani dengan lebih baik selain mampu memberi sinar harapan kepada pasangan yang berniat mendapatkan zuriat.

Antara inisiatif yang dapat merawat isu kesuburan adalah persenyawaan in-vitro, ataupunIn Vitro Fertilisation (IVF)’. 

Apa Itu IVF?

Menurut Dr Ashley Chung Soo Bee, Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), teknologi rawatan kesuburan amat efektif dalam membantu pasangan untuk hamil terutamanya dengan kewujudan initiatif IVF.

In Vitro Fertilisation atau IVF merupakan salah satu pilihan yang terbaik jika anda ataupun pasangan mengalami masalah seperti:

  • tiub fallopio tersumbat
  • sejarah kerosakan pensterilan tiub
  • endometriosis
  • masalah ovulasi
  • kualiti atau fungsi sperma yang sudah terjejas
  • masalah kesuburan yang tidak dapat dijelaskan
  • masalah genetik

Bukan itu sahaja, IVF turut cenderung digunakan sebagai pensterilan lelaki serta berfungsi sebagai alat untuk memelihara tahap kesuburan bagi pesakit kanser.

Dalam proses ini juga, pakar turut akan menjalankan ujian saringan yang disebut sebagai ujian genetik praimplantasi aneuploidies (PGT-A) atau ujian yang dilakukan untuk mengesan sebarang abnormaliti pada embrio yang mana ianya akan dapat menentukan bahawa sesebuah embrio itu sihat ataupun tidak.

Untuk pengetahuan anda, antara kelebihan PGT-A termasuklah:

  • meningkatkan kadar kehamilan
  • mengurangkan risiko keguguran
  • risiko abnormaliti pada kromosom
  • membolehkan embrio yang mempunyai kromosom normal dipindahkan ke dalam rahim ataupun dibekukan untuk kegunaan masa hadapan

Satu lagi teknik makmal terkini yang digunakan untuk prosedur IVF adalah suntikan sperma terpilih morfologi intracytoplasma (IMSI).

Ketika melaksanakan IMSI, proses magnifikasi akan dilakukan untuk mengenal pasti kecacatan di kepala sperma yang tidak dapat dilihat melalui prosedur biasa selain turut menyuntik sperma yang berkeadaan normal ke dalam oosit (telur) untuk meningkatkan peratusan kejayaan persenyawaan. 

Keupayaan Rawatan IVF Adalah Berbeza Untuk Setiap Individu

Menurut Dr Ashley lagi, rawatan IVF adalah berbeza bagi setiap wanita kerana ia membuatkan setiap orang mengalami tindak balas yang berbeza kepada ubat-ubatan ataupun prosedur yang dilaksanakan.

Oleh sedemikian, pesakit dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan klinikal yang menyeluruh dan melakukan ujian darah bagi mengetahui punca kepada masalah ketidaksuburan mereka sebelum memulakan prosedur IVF. 

Tidak dinafikan, sesetengah wanita mungkin berjaya hamil selepas hanya satu kitaran IVF, sementara yang lain mungkin perlu mencuba beberapa kitaran sebelum mereka boleh memulakan fasa untuk berkeluarga.

Terdapat beberapa cabaran semasa melakukan prosedur IVF seperti harus menerima suntikan rawatan IVF secara harian untuk merangsang ovari menghasilkan telur bersifat matang untuk digunakan semasa proses persenyawaan dengan sperma.

Kenalpasti Masalah Ketidaksuburan Dalam Kalangan Lelaki Dan Cara Merawatnya

Dalam perkongsian bersama Dr Farah Leong Rahman, Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan dari SMCV, lelaki juga turut berisiko mengalami penurunan tahap kesuburan seiring dengan peningkatan usia.

Walau bagaimanapun, hal ini dilihat tidak sebegitu serius jika ingin dibandingkan dengan wanita. Penurunan kadar kesuburan lelaki biasanya akan bermula apabila mereka mula memasuki fasa usia 40-an kerana ia mampu menjejaskan kualiti sperma yang dihasilkan.

Dr Farah turut menjelaskan bahawa masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki tidak selalu dibincangkan kerana masih terdapat stigma untuk berbincang tentang perkara ini secara terbuka. Namun, kesedaran tentang masalah ini perlu dipertingkatkan lagi bagi menjamin keharmonian pada masa hadapan.

Tambahan, segelintir lelaki mempunyai aktiviti gaya hidup yang berisiko sehingga boleh mengganggu tahap kesuburan diri. Antaranya, menghisap rokok atau ganja, pengambilan alcohol secara berlebihan, obesiti dan rawatan hormon boleh membawa kepada parameter sperma yang tidak optimum.

Terdapat pelbagai punca yang boleh membawa kepada masalah ketidaksuburan lelaki. Sesetengah punca adalah disebabkan oleh faktor kongenital atau faktor keturunan yang bermaksud masalah-masalah itu telah wujud sejak lahir lagi.

Namun begitu, terdapat juga faktor-faktor lain seperti pembedahan, trauma, jangkitan, masalah testis, masalah kesihatan yang tidak dikenalpasti atau daripada ubat-ubatan tertentu yang menjadi punca kepada masalah ketidaksuburan ini. Oleh itu, setiap rawatan yang disyorkan akan bergantung kepada punca masalah ketidaksuburan itu sendiri.

Bagaimana Individu Lelaku Boleh Mengetahui Tahap Sperma Yang Optimum?

Untuk memeriksanya, satu ujian sperma ringkas boleh dijalankan untuk mengumpul maklumat mengenai jumlah sperma, kelajuan (motiliti) serta bentuk sperma. Pemeriksaan lanjut seperti ujian hormon darah akan dilakukan jika perlu, bergantung kepada parameter sperma tersebut.

Rawatan kesuburan seperti IVF juga boleh dipertimbangkan untuk menjadi salah satu usaha bagi pasangan yang berhajat untuk mendapatkan anak dan ingin memastikan kehamilan dan bayi yang selamat serta sihat.

Untuk pengetahuan anda, kini di Pusat Kesuburan Sunway di SMCV, mereka telahpun memulakan operasi untuk rawatan IVF sejak awal bulan Julai 2022. Terletak bersebelahan dengan Pusat Wanita dan Kanak-kanaknya, fasiliti seluas 7,222.5 kaki persegi ini dilengkapi dengan kemudahan yang komprehensif seperti bilik konsultasi, bilik pengumpulan sperma, makmal andrologi, makmal embriologi, bilik pengawetankrio (cryopreservation) serta teknologi dan sistem terkini untuk pelbagai prosedur kesuburan dan sakit puan (ginekologi).

Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan mengenai Pusat Kesuburan Sunway di SMCV, anda boleh hubungi +60 19-289 2390 (talian Pusat Kesuburan SMCV).

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd