Berlian Merah Jambu Ini Dipercayai Saiz Yang Terbesar Pernah Dilihat Dalam Tempoh 300 tahun

July 28, 2022
Uncategorized

Lina Rosli

Baru-baru ini, di Angola, sekumpulan pelombong telah menemui sebentuk berlian merah jambu yang terbesar pernah direkodkan dalam tempoh 300 tahun.

Berdasarkan perkongsian laman web Mining, belian tersebut merupakan berlian merah jambu yang jarang ditemui dan tulen dan ianya hadir dengan berat mencecah 170 karat.

Dikenali sebagai The Lulo Rose, berlian ini ditemui di lombong Lulo di timur laut. Dan menurut Lucapa Diamond Company, kawasan tersebut merupakan antara lokasi yang kaya dengan berlian. Kira-kira 27 jenis batu berlian unik dan tulen telah ditemui termasuklah berlian Jenis IIa, iaitu salah satu jenis batu semula jadi yang paling tulen dan paling jarang ditemui.

Sebelum The Lulo Rose mula dijual di pasaran antarabangsa, berlian ini akan digilap dan dikemaskan dahulu potongannya bagi mendapatkan dan menentukan nilai sebenar kepada umum. Namun, selepas proses ini dilaksanakan, berlian merah jambu ini dikatakan akan kehilangan separuh daripada beratnya berbanding ketika ia mula-mula ditemui.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd