Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp) Sedang Dalam Proses Penilaian Geopark Kebangsaan
Lina Rosli
Pihak Badan Pengurusan Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp) telah membuat persediaan dan kini sedang menghadapi proses Penilaian GHLGp yang bermula pada 15 hingga 18 Ogos 2022.
Ia merupakan inisiatif dari pihak Kerajaan Negeri Selangor dalam mendapat pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) yang disasarkan pada tahun 2025 yang mana Projek Gombak-Hulu Langat Geopark ini dijangka akan berperanan besar dalam penjagaan dan pemuliharaan aset alam semulajadi seperti pergunungan dan hutan dan hidupan flora dan fauna.

Selain daripada menjadi lokasi UNESCO Global Geopark, Gombak-Hulu Langat Geopark ini turut bergerak kearah pencapaian Sustainable Development Goals (SDG) dan ianya selari dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk menjadikan Selangor sebuah negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur menjelang tahun 2025.
GHLGp adalah merupakan rangkuman 20 geotapak yang dikenalpasti berpotensi serta mempunyai kepentingan geologi adalah aset negara yang sangat bernilai khususnya kepada Negeri Selangor. Ia melibatkan kawasan seluas 112,955 hektar ini terletak di 2 daerah iaitu daerah Gombak (13 geotapak) dan Hulu Langat (7 geotapak).

Beberapa nilai keunikan geologi di Gombak-Hulu Langat Geopark termasuklah:
- Hadir dengan binaan batuan granit pada banjaran utama dengan usia antara 200 – 220 juta tahun.
- Batuan pliestosen akhir di bahagian Batu Caves yang paling selatan di benua asia, berusia 350 – 500 juta tahun.
- Merupakan lokasi timbulan kuarza terpanjang di Asia Tenggara iaitu Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS)
- Menempatkan lokasi lombong arang batu tertua di Malaysia terletak di Batu Arang.
- Menampilkan spesies haiwan endemik yang boleh dijumpai di beberapa lokasi geotapak seperti cicak jari bengkok di Batu Caves, Serow di Permatang Kuarza Gombak Selangor
- Menempatkan dua empangan utama iaitu Empangan Klang Gates and Empangan Semenyih. Ia merupakan kawasan tadahan air utama bagi Negeri Selangor.

Nampaknya, dengan pemerliharaan dan pemuliharaan kawasan geotapak ini, ia dijangka akan menggandakan jumlah kedatangan pelancong, meningkatkan pendapatan serta resit pelancongan negeri, merancakkan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan baru dalam sektor pelancongan khususnya di Negeri Selangor.