Di Sebalik Kereta Paling Mahal Di Dunia – Ada Apa Dengan Mercedes-Benz 300 SLR Uhlenhaut Coupe?
Lina Rosli
Tahukah anda, kereta apakah yang diiktiraf oleh Guiness World of Record sebagai kereta termahal di dunia?
Bagi yang tidak mengetahui, pada 5 Mei 2022 yang lalu, sebuah kereta iaitu 1955 Mercedes-Benz 300 SLR Uhlenhaut Coupe telah dibeli pada harga $142 juta. Ia telah menjadi satu-satunya kereta yang dijual pada harga tertinggi yang juga telah mengalahkan rekod jualan pada tahun 2018, iaitu $70 juta bagi kereta 1963 Ferrari 250 GTO.
Tapi pernahkah anda tertanya-tanya, apakah yang membuatkan kereta ini boleh dijual dan dibeli pada harga yang tinggi?

Apa Yang Ada Pada Kereta Paling Mahal Di Dunia?
Apabila bercerita mengenai sesuatu yang mahal, sudah tentu barang atau item tersebut mempunyai sesuatu yang bernilai yang terbina padanya. Perkara ini boleh merangkumi sama ada sesuatu yang luar biasa (rarity) keunikan dan juga sejarah yang dibawa.
Untuk kereta 1995 Mercedes-Benz 300 SLR Uhlenhaut Coupe ini, hanya 2 buah kereta sahaja yang pernah dihasilkan menjadikannya antara kereta yang sukar untuk didapati di pasaran.
Tidak sekadar itu, kedua-dua kereta ini juga turut dilabel sebagai kereta yang terpantas pada suatu ketika dahulu disebabkan oleh kejayaannya dalam memenangi tempat pertama di pelbagai acara perlumbaan termasuk Formula One World Championships, 1955 World Sportscar Championship dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, selepas beberapa pertandingan, Mercedes tidak lagi bertanding di dalam acara perlumbaan dan mengeluarkan nama mereka dalam senarai pelumba. Ia berikutan tragedi yang berlaku sewaktu acara perlumbaan 24 Hours Le Mans, pemandu Mercedes, Pierre Levegh memandu dengan kelajuan tinggi yang menyebabkan kereta Levegh merempuh orang ramai. Ia sekaligus menyebabkan kebakaran bahan api berlaku, mengakibatkan Levegh dan 84 penonton kehilangan nyawa.
Selepas daripada itu, kedua-dua kereta Mercedes-Benz ini telah melalui pengubahsuaian. Dilaksanakan oleh Ketua Jurutera Sukan Permotoran Mercedes, Rudolf Uhlenhaut, beliau menukar kereta tersebut kepada hibrid kereta lumba SLR 300 terbuka dan juga kereta pengeluaran 300 SL.

Lengkap dengan pintu sayap camar, penggayaan coupe dan enjin 3.0 liter yang diperbesarkan, kereta yang terhasil iaitu Mercedes-Benz 300 SLR Uhlenhaut Coupe kini boleh kembali ke atas jalan raya kerana dan teknologinya telahpun disesuaikan dengan keperluan undang-undang.
Tidak Semua Boleh Memiliki Mercedes-Benz 300 SLR Uhlenhaut Coupe
Keadaan istimewa di sebalik penciptaannya, bersama dengan prestasi berkuasa tinggi dan reka bentuk tersendiri telah mengukuhkan kedudukan Uhlenhaut Coupe sebagai antara kereta yang memenuhi kriteria ‘termahal’ di dunia.
Malah, ia juga tidak pernah diputuskan untuk dijual. Menurut Ludvigsen, Uhlenhaut Coupe tidak pernah dijual secara rasmi oleh Mercedes-Benz. Tambah Mercedes-Benz lagi, setiap individu yang ingin membeli kereta ini akan ditapis oleh RM Sotheby untuk memastikan mereka memenuhi kriteria ketat Mercedes-Benz sebagai cukup kaya untuk membeli kereta itu dan yang lebih penting, bersedia untuk mempamerkan kereta itu pada acara khas.