The weather of love by amirhadi
Amirhadi

Aku mampu untuk menyusun waktu menjadi tubuhmu di siling kamar, tetapi, aku tidak mampu menjelmakan tawamu, resahmu, bahagiamu, dan senyumanmu saat bersamaku, namun kali ini, cinta datang lebih rapi. Di jendela kamar, wajahmu muncul dalam tangan purnama yang membuka daun tingkap, melengkapkan rindu yang bakal tersingkap. Apabila semakin larut malam, kaumemadam tubuhmu dengan ribut dan petir, guruh pun menjadi getir. Lalu akhirnya hari-hariku dikoyakkan kesepian yang diam-diam menjadi senagkuh prosa. Maaf, aku tidak tahu bagaimana untuk memaafkan perbuatanmu yang menjelma ucapan “selamat tinggal.” di ranjang, lalu aku memutuskan, menjadi lelaki nokturna adalah yang terbaik untuk menjadikan keindahan ronamu, nona. Walaupun sebenarnya wajahmu telah hilang bersama senja yang menjilat alisku pada petang tadi. FA, mahukah kau terpenjara di dalam kelopak mataku? “Tidak.” Jawabmu ringkas. Lalu aku setia menunggumu dan mengulang perkara yang sama setiap hari, makan, mandi, tidur, membaca sunyi dan menghargai sepi. Dua tahun kemudian, kita bertemu semula, dan kata-katamu yang memulakan perbualan antara kita. Waktu itu, angin nakal menerbangkan tudungmu, sesekali terlihat rambutmu yang kusut, dan aku cuba untuk nafikan perbuatan mata sendiri, sehingga satu tahap, aku mahu membencinya. Kautahu? Kisah Romeo dan Juliet. Kusimpan Romeo di saku matahari dan lempar Juliet di saku bulan, mana mungkin mereka bertemu kecuali dalam satu garis gerhana, cahaya bertemu cahaya, mungkin aku akan temukannya setahun sekali. Seperti kita, apabila kaurebah dalam keterasingan, aku sedia mencarimu di tengah keramaian. Tetapi tidak kujumpa. FA, aku tahu sepatutnya aku mencintaimu dengan lebih rapi, dan bukannya separa mati seperti ini. Oh, perempuanku, jika kita diangkasa, aku rela menjadi relungmu, dan kamu, seindah Jupiter, oh perempuanku.