Menurut kajian di dalam Laporan Perubatan Pencegahan (Preventive Medicine Report) yang dilaksanakan oleh Dr Shian-Ling Keng dari Monash University Malaysia, wabak maut COVID-19 dilihat telah memberi kesan terhadap tingkah laku dan kesihatan manusia. Ia termasuk amalan pemakanan yang tidak sihat, gejala merokok serta penurunan aktiviti fizikal.

Kesan daripada amalan ini, ia telah menyebabkan faktor risiko penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan penyakit kardiovaskular. Malah, ia turut boleh mencetuskan risiko yang lebih buruk lagi iaitu, kematian.

Bukan sekadar itu, berdasarkan data dari kajian PsyCorona, terdapat juga interaksi antara tanggapan risiko jangkitan COVID-19 dan beban ekonomi. Kesan daripadanya, individu dilihat lebih cenderung mengalami penurunan kualiti diet dan kualiti tidur yang mana diakibatkan oleh kebimbangan akan masalah kewangan dan juga kestabilan pendapatan.

Bagaimana Anda Boleh Mencegahnya Daripada Memberi Kesan Buruk Pada Diri?

Terdapat beberapa tabiat dan latihan yang boleh anda amalkan untuk mencegah kesan buruk COVID-19 kepada tingkah laku dan kesihatan diri.

Berikut ialah beberapa petua tentang cara untuk kekal aktif dan mengurangkan tingkah laku sedentari semasa berada di rumah.

  • Tetapkan aktiviti rehat yang aktif dan lakukannya pada tempoh masa yang singkat di siang hari. Anda boleh memilih sama ada untuk menari, bermain dengan kanak-kanak, dan melakukan kerja rumah seperti membersihkan dan berkebun.
  • Ikuti kelas senaman atas talian. Manfaatkan kelas percuma yang mungkin boleh diterokai menerusi aplikasi kesihatan atau tutorial yang boleh didapati di YouTube.
  • Kekal berjalan walaupun dalam ruang kecil. Cadangan ini boleh dilaksanakan sewaktu anda berada dirumah lebih-lebih lagi ketika tempoh bekerja dari rumah. Sebagai contoh, jika anda mempunyai panggilan, berdiri atau berjalan di sekitar rumah anda semasa anda bercakap.
  • Kurangkan masa duduk anda dengan berdiri apabila boleh. Pertimbangkan untuk menyediakan meja berdiri dengan menggunakan meja tinggi atau menyusun timbunan buku atau bahan lain untuk terus bekerja sambil berdiri.
  • Semasa masa lapang yang tidak aktif, utamakan aktiviti yang merangsang kognitif seperti membaca, bermain permainan papan dan teka-teki.

Manakala langkah atau tingkah laku yang perlu diamalkan untuk fikiran yang baik dan lebih tenang pula, jika boleh, luangkan masa setiap hari untuk bersama keluarga anda. Contohnya, cuba aturkan masa tetap untuk makan malam bersama atau anda juga boleh mengatur hari keluar bersama rakan-rakan yang sudah lama tidak berjumpa selain turut pergi melawat rakan atau ahli keluarga yang memerlukan sokongan dari pelbagai sudut.