Bagi sesetengah individu, diet pemakanan yang mempunyai gluten boleh mengakibatkan beberapa masalah kesihatan seperti alahan, pencernaan dan juga penyakit celiac atau dipanggil autoimun.

Oleh itu, bagi mengurangkan risiko kesihatan menjadi lebih teruk, anda boleh mengamalkan diet yang bersesuaian iaitu diet tanpa gluten.

Untuk diet bebas gluten, biasanya anda disarankan untuk menukar bahan utama di dalam menu atau hidangan kepada yang tidak mempunyai gluten. Antara contoh bahan gluten yang paling popular adalah gandum, nasi, mi, barli, bijirin dan juga pasta.

Jadinya, anda perlu memastikan makanan yang anda perolehi haruslah bebas daripada kesemua bahan gluten di atas.

Bagaimana Cara Untuk Mengetahui Bahan Tersebut Tidak Ada Gluten?

Sebelum anda mendapatkan dan mengamalkan diet bebas gluten, perlu anda ketahui apakah makanan yang sebenarnya yang benar-benar tidak mengandungi gluten. Hal ini kerana, ia bergantung kepada sumber yang diperolehi.

Berikut adalah lima kumpulan makanan bebas gluten:

Tepung Bebas Gluten

Memang tidak dinafikan gandum merupakah salah satu bahan yang mengandungi gluten. Namun, tahukah anda terdapat beberapa alternatif lain yang tidak hadir dengan gluten secara semula jadi.

Ia termasuk:

  • Beras perang atau beras basmati. Untuk anda yang ingin mengamalkan diet bebas gluten, anda boleh menukar beras putih kepada beras perang. Ia sejenis beras yang melekit dan kelihatan seperti digam. Antara jenama yang boleh anda dapatkan adalah Eco Brown Gold, Jasmine Sun Brown Rice dan juga Faiza Rice Herba Ponni Taj Mahal.
  • Tepung badam, jagung, kacang, kentang, sorgum, ubi kayu. Ini adalah senarai tepung yang tidak mempunyai gluten. Untuk menggunakannya, anda boleh membaca pada label. Jika anda melihat perkataan “tepung” pada senarai ramuan yang didahului oleh perkataan seperti “beras” atau “jagung”, makanan tersebut adalah bebas gluten dan selamat untuk dikonsum.
  • Kentang. Pada dasarnya ia tidak mempunyai gluten. Namun, ia bergantung pada bagaimana ia disediakan. Semakin banyak bahan yang anda tambah, semakin besar risiko kentang anda akan hadir dengan gluten.
  • Quinoa. Seperti kentang juga, quinoa secara semula jadi adalah makanan tanpa gluten. Namun, ia mungkin mengandungi prolamin yang tidak sesuai untuk anda yang mengalami masalah celiac.

Bagi pasta yang diperbuat daripada gandum mengandungi gluten. Ia termasuk spageti, fettuccine, makaroni, lasagna dan ravioli. Namun, anda boleh mencari pasta dengan bahan yang diperbuat daripada tepung bukan gandum.

Protein

Seterusnya untuk protein pula, ia boleh dikatakan hampir semua sumber daging dan tumbuhan adalah bebas gluten.

Anda boleh mengamalkan beberapa jenis protein ini tanpa risau seperti:

  • Kekacang. Antara contoh jenis kekacang yang boleh dikonsum termasuk kacang tanah dan kacang soya seperti tauhu, tempe dan kacang pea.
  • Daging merah seperti daging lembu atau kambing turut bebas gluten.
  • Daging putih seperti ayam dan telur boleh dimakan tanpa had
  • Makanan laut juga tidak mengandungi gluten seperti ikan, udang dan kerangan.

Walau bagaimanapun, anda masih perlu berhati-hati dengan protein yang diproses atau protein didalam tin. Hal ini kerana, ia mungkin dicampur dengan bahan perasa atau sos yang mempunyai gluten. Oleh itu, sebelum anda membeli, pastikan anda memeriksa label pada tin.

Contoh protein yang diproses seperti daging yang diproses, seperti hot dog, pepperoni, sosej, salami ataupun kicap berasaskan gandum.

Produk tenusu dan minyak

Selain itu juga, pasti ramai yang tidak prihatin dengan penawaran gluten yang ditampilkan dalam produk tenusu. Sebilangan besar produk tenusu secara semula jadinya bebas gluten. Walau bagaimanapun, disebabkan penambahan perisa di dalam makanan oleh kilang dan pengeluar, makanya ia berisiko untuk hadir dengan gluten.

Beberapa bahan yang mengandungi gluten biasa yang boleh ditambahkan ke produk tenusu termasuk pemekat, malt, dan pati makanan yang diubahsuai.

Berikut adalah produk tenusu dan minyak bebas gluten:

  • Susu
  • Mentega dan ghee
  • Keju
  • Krim
  • Yogurt. Namun, untuk produk ini,  anda masih perlu memeriksa label yang dikeluarkan pengilang.
  • Minyak zaitun, minyak kelapa, minyak bijan, minyak canola dan minyak bunga matahari

Selain makanan, anda turut perlu berhati-hati akan penawaran minuman dengan gluten seperti barli, kopi yang ditambah perisa dan juga malt.

Untuk itu, anda boleh menukar minuman kepada yang bebas gluten sepeti jus buah-buahan yang diperah segar, teh, serai, soda dan juga minuman bertenaga.

Walaupun minuman ini bebas gluten, namun ia masih perlu dikonsum secara sederhana kerana kandungan gula tambahan yang ditampilkan.

Sumber: Beyond Celiac, Very Well Fit, National Celiac