Amalina Hazaidi Diterbitkan 5 July 2019

Epal Hijau vs Epal Merah

Epal Hijau vs Epal Merah

“An apple a day keeps the doctor away”. Yes, it’s true!

Epal adalah salah satu buah yang paling eksotik dan mempunyai khasiat yang tinggi. Mereka mengandungi banyak manfaat kepada kesihatan kerana ia kaya dengan antioksidan. Antioksidan diperlukan dalam tubuh kerana ia mampu meningkatkan sistem imun untuk melawan penyakit. Ia juga kaya dengan serat dikenali sebagai pektin. Sebiji epal bersaiz sederhana mempunyai kira-kira empat gram serat.

Epal yang dijual dalam pasaran pada masa kini secara asasnya terbahagi kepada 2 jenis, iaitu ‘Red Delicious’ yang berwarna merah dan ‘Granny Smith’ berwarna hijau. Anda juga mengetahui bahawa epal merah ini lebih manis dan kurang rasa masam, manakala epal hijau pula adalah sebaliknya. Itu yang semua orang tahu hanya berdasarkan rasa. Namun, yang manakah menjadi kesukaan anda? Epal hijau atau epal merah? Apa perbezaan nutrisi yang dimiliki kedua-dua jenis epal ini?

Epal Hijau (Granny Smith)

Epal hijau dikenali sebagai “Granny Smith green apple” bersempena dengan nama Maria Ann Smith, seorang nenek tua dari New South Wales, Australia yang secara tidak sengaja mendapat baka tersebut menerusi proses biak-baka yang diusahakannya pada tahun 1868. Ianya adalah hasil kacukan M. Domestica (epal pasaran) dan M. Sylvestaries (epal liar).

Tekstur epal hijau ini lebih keras dan ‘rangup’ apabila dikunyah, warna kulitnya pula sekitar kuning kehijauan, hinggalah kepada hijau muda. Rasanya pula lebih masam kerana kandungan asidnya yang lebih tinggi.

Epal hijau kebiasaannya dimakan begitu sahaja atau digunakan dalam penghasilan pai kerana secara asasnya, buah epal ini masih muda dan belum matang sepenuhnya.

Epal Merah (Red Delicious)

Epal merah pula lebih dikenali “Red Delicious“, sifatnya adalah boleh dikatakan terbalik dengan epal hijau. Kulit epal merah adalah lebih tebal, isinya lebih ‘rapuh’ apabila digigit dan dikunyah, malah rasanya pula kurang masam dan jauh lebih manis!

Kewujudan epal merah ini dikatakan bermula di Iowa, Amerika Syarikat pada sekitar 1880-an menerusi klon kepada varian asalnya, yang mana ditemui berdasarkan kaedah “biak-dan-pilih” (selective breeding).

Apakah Perbezaan Epal Hijau dan Epal Merah?

  • Kandungan gula : Didapati buah epal merah mempunyai lebih banyak kandungan gula di dalamnya berbanding buah epal hijau. Justeru menjadikan buah epal hijau buah yang lebih digemari bagi golongan yang ingin berdiet dan mengamalkan gaya hidup sihat.

 

  • Kandungan asid : Dipercayai juga kandungan asid malic dalam epal hijau jauh lebih banyak berbanding epal merah. Hal ini kerana seperti yang kita ketahui epal hijau mempunyai sifat asidik yang terbukti melalui rasanya yang masam dan bukan seperti epal merah yang rasanya manis. Justeru, ini membuktikan bahawa epal hijau lebih sesuai digunakan untuk golongan yang dipercayai mempunyai masalah batu karang. Hal in kerana sifat asidik epal hijau serta khasiatnya dapat membantu mencegah masalah kesihatan seperti ini.

 

  • Kandungan antioksidan: Berbanding kedua-dua epal ini, didapati kandungan antioksidan lebih tinggi dalam epal merah berbanding epal hijau. Antioksidan sangat penting dalam badan kerana dapat mencegah berlakunya sebarang masalah kesihatan yang diakibatkan oleh radikal bebas dalam badan. Justeru itu, masalah kesihatan ini yang tidak diingini dapat dicegah sekiranya mengambil epal merah secara berlebihan.

 

  • Rasa: Perbezaan seterusnya berbanding kedua-dua epal ini ialah rasa. Kedua-dua epal ini mempunyai rasa yang berbeza dan dapat dibezakan melalui rasanya yang kontras. Epal merah lebih kepada rasa manis dan ini digemari oleh kanak-kanak kecil. Epal hijau pula berasa masam dan jarang disukai oleh kanak-kanak kecil malah orang dewasa pun ada segelintir yang tidak menyukainya.

Sumber :  https://www.doctoroncall.com.my/soalan/kebaikan-epal-hijau-green-apple#show