Menjadi bilik pameran HABIB yang pertama, HABIB Semua House dibuka pada tahun 1986 yang mana bilik pameran ini terletak di Pusat Membeli Belah Semua House, Kuala Lumpur.

Untuk pengetahuan anda, bilik pameran HABIB Semua House mempunyai seribu satu cerita di sebalik kilauan berlian dan permata yang dipamerkan dalam menyusun langkah dan melakarkan kejayaan sehingga menjadi dikenali pada hari ini.

Dan hari ini, HABIB Semua House mengumumkan bahawa mereka akan menutup tirai bilik pamera tersebut buat selamanya bermula 30 September 2022.

Nama ‘Semua House’ untuk HABIB Semua House membawa erti ‘rumah kepada segalanya’ benar-benar menggambarkan segala isi alam yang ada dijual di situ dari barangan pengantin sehinggalah ke barangan kemas. Dari situlah bilik pameran HABIB Semua House bermula dengan menjadi salah sebuah penyewa di pusat membeli belah yang terkenal pada zaman 90-an.

Selepas ini, tiada lagi suasana riuh-rendah dari para pengunjung yang menyinggah di Semua House setelah bersiar-siar di sekitar Jalan TAR terutamanya ketika bulan Ramadhan. Antara detik terindah yang pernah dialami oleh kakitangan HABIB terdahulu adalah ketika bilik pameran tersebut penuh dan dibanjiri dengan kehadiran pengunjung sehingga kakitangan HABIB yang bertugas di ibu pejabat termasuklah Dato’ Sri Meer Habib turut bersama-sama meringankan tulang membantu melayani pelanggan.

Hubungan yang terjalin antara staff HABIB dan pelanggan bukan hanya berdasarkan jual beli namun ianya telah membentuk sebuah hubungan persahabatan yang akrab sehingga ke hari ini dari generasi ke generasi. 

Kenangan sepanjang bilik pameran HABIB Semua House beroperasi adalah sesuatu yang tidak boleh ditukar ganti dengan apa pun. Sokongan yang tidak pernah henti daripada para pelanggan sentiasa menjadi pembakar semangat HABIB untuk sentiasa menawarkan perkhidmatan yang terbaik.

Penutupan bilik pameran HABIB Semua House ini bukanlah suatu penamat tetapi suatu perjalanan kehidupan yang membuka kepada seribu satu permulaan yang baru. Terdapat lebih 30 bilik pameran untuk dikunjungi selepas ini di seluruh negara termasuklah di Jalan Bunus yang terletak hanya satu kilometer dari Semua House.