Seperti yang anda lihat di kebanyakan perkongsian individu di media sosial akan keunikan dan kecantikan suasana kedai buku dari Jepun, Tsutaya Books, kedai ini menampilkan konsep unik bertemakan Cultivate Culture & Lifestyle.

Terdapat pelbagai ruangan yang disediakan di dalam Tsutaya Books, ianya termasuklah ruang seni dna budaya, kafe, fesyen dan kosmetik, tempat bacaan kanak-kanak, tempat rehat dan kerja dan banyak lagi.

Untuk pengetahuan anda, Tsutaya Books hadir dengan keluasan 31,000 kaki persegi dan menawarkan lebih daripada 240,000 buah buku, alat tulis, produk penjagaan diri dan hiasan rumah yang meliputi minat yang berbagai untuk semua individu.

Apabila anda masuk sahaja ke dalam Tsutaya Books, anda akan melihat susunan buku yang rapi dan mengikut kategori bagi memudahkan anda untuk terus berkunjung ke seksyen atau rak yang menawarkan keperluan anda.

Terdapat 11 ruangan khas yang boleh anda kunjungi iaitu kafe, sastera, kemanusiaan, komik, bahasa, kanak-kanak, kelengkapan gaya hidup, makanan, seni, pelancongan, majalah dan gaya kerja.

Menjadikan suasana di kedai buku ini lebih tenang dan minimalis, Tsutaya Books mempersembahkan rekaan ala-ala Japandi yang menggabungkan garis halus dan moden Scandinavia bersama keanggunan estetika Jepun. Jika anda mendongak ke atas siling, ia menampilkan cermin yang membantu memantulkan imej bagi menampakkan ruang yang lebih luas dan kemas.

Kafe Di Dalam Kedai Buku

Jika anda pernah lihat kedai buku di luar negara, pelbagai tawaran telah mula ditampilkan di dalamnya yang mana ia bagai menjadikan aktiviti di dalam ruangan bacaan lebih selesa dan menarik.

Oleh sebab itu, penawaran kafe di dalam Tsutaya Books tidak hanya membenarkan pelanggan untuk membeli buku dan menambah pengetahuan melalui bacaan, tetapi juga untuk menikmati manisan artisanal Jepun dan kopi di samping berinteraksi dengan komuniti yang hadir.

Berbeza dengan cawangan Tsutaya Books di Jepun yang menampilkan Starbucks Coffee di dalam kedai buku, Tsutaya Books Pavillion Bukit Jalil hadir dengan kafe yang tersendiri. Antara menu yang ditawarkan adalah:

  • Classic Dorayaki – RM 10
  • Kyoto Matcha Dorayaki – RM 13
  • Dorayaki Set – RM 24
  • Brewed Coffee Hot/Cold – RM 12
  • Yuzu Ice Blended – RM 18
  • Chocolate Hot/Cold – RM 14

Kafe ini membawakan dua ruangan makan yang berbeza sama ada ruang makan beramai atau ruang makan persendirian yang sesuai untuk individu yang ingin menikmati masa membaca berseorang sambil menikmati secangkir kopi di meja.

Menurut Tsutaya, kafe adalah bahagian penting dalam rancangan perniagaan mereka kerana ia menjangkakan kafe ini akan membawa masuk beratus-ratus orang yang akan membeli buku dan kopi. Sekiranya anda berkunjung ke kafe Tsutaya Books, ia boleh memuatkan sekitar 90 pelanggan pada satu-satu masa.

Ruangan Eduria Kanak-Kanak Terbesar Di Malaysia

Selain hadir dengan ruang gaya hidup, Tsutaya Books turut memperkenalkan ruang eduria (edutainment) untuk kanank-kanak yang terbesar di Malaysia.

Membawakan sekitar 20,000 buah buku pelbagai bahasa seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Jepun untuk kanak-kanak, ruang ini turut membenarkan ibu bapa dengan anak-anak kecil untuk beriadah dan bermain bersama anak-anak sambil menjana tumbesaran kognitif menerusi mainan silang kata, buku bergambar, mainan dan banyak lagi.

Ruangan ini adalah satu-satunya di dalam kedai buku Bukit Jalil Tsutaya Books yang hadir dengan susun atur dan penggayaan warna yang lebih ceria iaitu ronak hijau terang bersama coklat muda.

Peragaan Seni Pop, Seni Bina, Fotografi Dan Kereta

Khusus buat penggemar seni, Bukit Jalil Tsutaya Books turut mempersembahkan variasi seni dari serata dunia yang membuatkan mata anda bersinar.

Anda boleh menerokai penawaran seni halus buatan tangan yang ditawarkan eksklusif di Tsutaya Books termasuklah penanda buku, aksesori perhiasan diri, beg tangan dan banyak lagi.

Malah, apa yang menarik juga, di kedai buku ini, ia turut memperlihatkan koleksi buku besar Mt. Fuji, Ferrari Limited Edition Collector’s Books yang dijual pada harga RM32,800 dan juga seni lukisan yang dihasilkan oleh pelukis terkenal berbeza dari Jepun dan global turut digantung pada dinding Tsutaya Books.

Jadi, bagi anda yang berminat untuk berkunjung ke Bukit Jalil Tsutaya Books, lokasi kedai buku ini terletak di Lot 2.89.00 di aras 2 Orange Zone. Bersempena pembukaan Tsutaya Books juga, anda boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti seni pemotongan kertas serta dapatkan juga kopi percuma dengan pembelian buku dengan nilai minima RM100 dan banyak lagi.