Min Ahmad Diterbitkan 24 June 2020

Mengidam: Fakta atau Mitos?

Mengidam: Fakta atau Mitos?

Mengidam sering dikaitkan dengan wanita mengandung. Namun, adakah mengidam adalah situasi yang harus dipandang serius atau sekadar mainan minda?

 

Bilakah Mengidam Berlaku?

Mengidam selalunya kerap dialami oleh wanita hamil ketika trimester pertama dan keinginan terhadap sesuatu makanan akan memuncak ketika trimester kedua. Namun begitu, bagi sesetengah orang keinginan untuk menikmati makanan tertentu berlarutan sehingga trimester ketiga dan beberapa hari selepas proses kelahiran. 

 

Apakah yang Menyebabkan Mengidam?

Perubahan hormon yang mendadak dikatakan salah satu punca mengapa wanita hamil mengidam. Selain mempengaruhi nafsu makan, ia turut mempengaruhi deria bau dan rasa yang mempengaruhi faktor pemilihan dan pengambilan makanan. Oleh yang sedemikan, tidak hairanlah jika ada sesetengah wanita hamil ‘teringinkan’ sesuatu makanan yang tidak pernah dimakan sebelumnya dan tidak gemarkan sesetengah makanan yang lain walaupun ia merupakan makanan yang biasa dimakan sebelum tempoh kehamilan. 

Mengidam juga mungkin berlaku akibat perubahan fisiologi badan yang perlu membekalkan nutrien tambahan bukan sahaja untuk badan, malah untuk anak di dalam kandungan. Ketika proses kehamilan, badan juga perlu menghasilkan lebih banyak sel darah merah berbanding sebelumnya. Oleh yang sedemikian, keinginan terhadap sesuatu makanan mungkin didorong oleh keperluan nutrien yang diperlukan oleh badan.

Menjamah sesetengah makanan juga turut memberikan ketenangan emosi kepada wanita yang sedang hamil. Oleh yang sedemikian, tidak hairanlah sekiranya banyak makanan yang diidamkan adalah makanan yang dianggap sebagai comfort food.

 

Mengidam dan Perkaitan Dengan Keperluan Badan

Adakalanya, mengidam dikaitkan dengan petanda bahawa badan anda kekurangan sesuatu nutrien yang diperlukan badan ketika tempoh kehamilan. Kekurangan kalsium akan menyebabkan sesetengah wanita mengidam susu dan produk tenusu seperti keju atau dadih. Mengidam makanan yang manis pula dikaitkan dengan badan yang memerlukan kandungan kalori yang lebih tinggi berbanding biasa ataupun ia tanda-tanda bahawa badan anda memerlukan vitamin B.

Kebiasaannya, wanita hamil yang mendapatkan pemeriksaan pranatal akan diberikan supplemen tambahan oleh pegawai perubatan/ doktor/ pakar obstetrik. Supplemen ini mampu memberikan bekalan vitamin dan mineral tambahan yang bersesuaian dengan keperluan badan seorang wanita yang hamil. Oleh yang sedemikian, ikutilah nasihat yang diberikan oleh doktor dan makan supplemen yang telah diberikan. Namun begitu, sekiranya anda masih berasakan anda mudah berasa letih, lesu atau tidak bertenaga walaupun telah melakukan apa yang telah disarankan, dapatkan nasihat lanjut daripada doktor anda.

 

Bilakah Mengidam Memudaratkan?

Walaupun mengidam adalah perkara yang dianggap biasa ketika hamil, anda disarankan untuk mengawal pengambilan makanan yang tinggi dengan garam, gula, karbohidrat dan lemak kerana ini boleh mengakibatkan tekanan darah tinggi, diabetes ketika mengandung, kenaikan berat badan mendadak, serta masalah kesihatan lain yang mungkin berlarutan selepas proses kelahiran.

Ibu yang hamil juga disarankan untuk tidak mengambil makanan laut seperti ikan, telur dan produk hasil daging/ayam yang mentah atau tidak dimasak secara sempurna. Susu dan produk tenusu yang tidak dipasteur dan sayuran berakar yang tidak di basuh bersih juga tidak sarankan untuk mengelakkan komplikasi yang mungkin timbul akibat pengambilan makanan tersebut yang bukan sahaja menjejaskan kesihatan diri sendiri, malahan juga bayi di dalam kandungan.

Anda juga dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor sekiranya anda mempunyai keinginan yang tidak munasabah untuk makan barangan seperti ais, tanah, kepingan cat kering, sabun, kapur, batu, ubat gigi atau sebarang objek lain yang tidak mempunyai sebarang khasiat, atau yang mungkin membahayakan. 

Keadaan ini dikenali sebagai pica di mana tabiat pemakanan yang tidak wajar ini dapat memberikan kemudaratan kepada ibu dan bayi. Bahan yang diambil berkemungkinan boleh menghalang penyerapan nutrien oleh badan dan berpotensi mempunyai bahan toksik atau kuman. Sesetengah bahan ini turut mengakibatkan masalah pembuangan najis serta sembelit. Situasi ini mungkin berlaku sebagai tindak balas badan akibat kekurangan sesetengah vitamin atau zat yang diperlukan badan akibat kekurangan nutrien tersebut dalam makanan yang diambil oleh seseorang wanita hamil.

Sekiranya anda sedang hamil dan mendapati anda mempunyai simptom kondisi pica, bertenang dan dapatkan nasihat daripada doktor anda. Anda juga perlu peka dengan status hemoglobin dalam darah kerana kondisi ini mungkin diakibatkan oleh kekurangan zat penting dalam badan. Libatkan suami, rakan-rakan dan/atau ahli keluarga rapat yang lain untuk memberikan sokongan moral dan emosi kepada anda ketika melalui proses kehamilan tersebut.

 

Sumber: Portal myHEALTH Malaysia