Min Ahmad Diterbitkan 1 April 2022

Penjagaan Diri Ketika Musim Panas

Umum diketahui Malaysia ialah negara beriklim khatulistiwa, dengan di kawasan utara Sabah dan utara Semenanjung Malaysia yang beriklim monsun tropika. Ini bermakna Malaysia mempunyai cuaca yang panas dan lembap sepanjang tahun dengan dua musim monsun iaitu monsun barat daya dan monsun timur laut. Monsun barat daya bermula dari hujung bulan Mei hingga September manakala monsun timur laut bermula dari awal bulan November hingga awal Mac. Bulan-bulan di antara dua monsun iaitu Mac hingga Mei dan September hingga Oktober ini dikenali sebagai musim peralihan monsun.

Ketika musim peralihan monsun ini, kebanyakan tempat di Malaysia akan mengalami musim panas melampau akibat tiupan angin yang lemah dan taburan hujan yang sedikit. Hujan selalunya turun pada waktu lewat petang, namun ia masih tidak dapat mengurangkan bahang kepanasan cuaca pada siang harinya.

Berikut adalah langkah penjagaan diri yang boleh anda ambil sewaktu musim panas ini:

Banyakkan Minum Air

Minum air dengan secukupnya adalah langkah penjagaan diri yang paling utama di musim panas. Pastikan diri anda kekal terhidrasi dan jangan tunggu hingga anda benar-benar dahaga untuk minum air. Langkah yang terbaik untuk mengingatkan diri anda untuk minum air dengan secukupnya ialah dengan meletakkan botol air di tepi anda ketika sedang bekerja atau belajar.

Selain itu, elakkan minuman bergula tinggi dan/ atau berkafien seperti air soda, kopi, teh boba, frappucino dan pelbagai minuman yang trendy yang lain. Sebaik-baiknya, minumlah air kosong pada kadar yang disarankan iaitu sekirar 2.5 liter hingga 3.5 liter sehari. Sekiranya anda bosan minum air kosong semata-mata, tambahkan potongan buah-buahan atau daunan herba serti potongan lemon, oren, kiwi, strawberi dan daun pudina ke dalam air anda untuk membuat infused drinks anda sendiri.

Pakai Pakaian yang Longgar dan Berwarna Cerah

Faktor pemakaian juga adalah penting apabila berhadapan dengan cuaca panas. Pakaian yang diperbuat daripada fabrik fiber sintetik seperti polyester, rayon dan nylon mengekalkan haba dan mempunyai kadar serapan peluh yang rendah yang boleh menyebabkan anda kekal panas. Oleh yang sedemikian, pilihlah pakaian yang diperbuat daripada fabrik kain kapas, linen dan sutera kerana ia mampu menyerap peluh dan bersifat ‘sejuk’.

Selain daripada itu pakaian yang longgar boleh menggalakkan peredaran udara manakala pakaian yang berwarna cerah pula mampu membalikkan cahaya. Ini membantu badan anda untuk mengawal suhu dan memastikan anda berasa lebih sejuk.

Kurangkan aktiviti luar

Serangan strok haba adalah situasi yang kerap berlaku ketika cuaca panas. Ia sering berlaku kepada kanak-kanak, warga tua, mereka yang mempunyai masalah kesihatan ataupun mempunyai berat badan berlebihan. Strok haba terjadi akibat badan tidak dapat mengawal suhu dalaman badan akibat kepanasan melampau. Oleh yang sedemikian, kurangkan pendedahan anda dengan cahaya matahari dengan duduk di kawasan indoor terutama sekali ketika waktu matahari sedang panas rembang.

Sekiranya anda tidak dapat mengelakkan diri untuk keluar juga pada waktu tersebut, gunakan payung atau topi agar anda terlindung daripada pendedahan kepada cahaya matahari yang panas membahang. Bagi anda yang melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam atau beriadah, gunakan pakaian yang longgar dan jangan terlalu memaksa diri. Kerapkan berehat di antara waktu senaman dan carilah tempat yang teduh untuk berehat. Anda juga digalakkan untuk menunggu sehingga lewat petang sekitar jam 5 petang ke atas untuk melakukan aktiviti fizikal kerana pada ketika ini cuaca tidak terlalu membahang. Selain itu, gunakanlah krim pelindung cahaya matahari sekurang-kurangnya SPF30 sebelum anda keluar untuk melindungi kulit anda daripada kerosakan UV.

Sejukkan Diri Anda

Air adalah medium penyejuk terbaik. Selain minum air dengan secukupnya, segarkan diri anda dengan mandi air suam sekerap mungkin (air yang sejuk mungkin boleh mendatangkan “kejutan” untuk badan yang panas). Kaedah ini lebih-lebih lagi sesuai untuk mereka yang terdedah dengan risiko serangan strok haba. Sekiranya mandi bukan pilihan yang terbaik untuk anda, anda bolehlah gunakan span atau kain yang lembap untuk menyejukkan diri. Sebagai alternatif, gunakan facial mist atau spray air untuk disemburkan ke wajah dan badan.

Seperti yang diperkatakan sebelum ini, duduk di kawasan indoor membantu untuk anda berlindung daripada cuaca yang panas. Sekiranya rumah anda tidak mempunyai pendingin hawa, gunakan kipas bukan sekadar untuk menyejukkan diri semata-mata. Kipas dapat membantu untuk memperbaiki peredaran udara di rumah agar udara tidak terasa terkuap dan panas. Penggunaan langsir yang berwarna gelap dan tebal untuk tingkap juga membantu untuk menyejukkan ruangan rumah.