Min Ahmad Diterbitkan 10 February 2021

Spaghetti Daging Yang Mudah lagi Ringkas

Spaghetti Daging Yang Mudah lagi Ringkas

Kandungan kalori: 400 kcal (untuk hidangan sebanyak 400 gram)

Tempoh penyediaan bahan-bahan: 20 minit 

Tempoh memasak: 20 minit

Saiz hidangan: 3 orang

 

Bahan-bahan:

  • 1/2 paket spaghetti
  • 1 biji bawang Holland, didadu besar
  • 4 biji bawang putih, dicincang kasar
  • 300 gram daging cincang
  • 2 tin sup tomato
  • 1/2 tin cendawan butang dipotong
  • 5 sudu besar minyak masak
  • 3 sudu besar mentega
  • 1/2 camca teh serbuk lada hitam
  • Garam secukup rasa
  • Serbuk keju parmesan
  • Air

Cara Penyediaan:

1. Panaskan air di dalam periuk. Setelah menggelegak, masukkan spaghetti dan rebus selama 12-15 minit. Selepas masak, ketepikan satu atau setengah cawan air rebusan tersebut dan toskan spaghetti.

2. Panaskan minyak dan mentega. Tumis bawang putih dan bawang Holland yang telah didadu.

3. Selepas seminit, masukkan daging cincang. 

4. Tumiskan sehingga daging mengeluarkan jus dan bawang bertukar warna menjadi translucent.

5. Masukkan sup tomato dan air rebusan spaghetti ke dalam tumisan bawang dan daging. 

6. Kacau dengan sekata dan masukkan cendawan butang.

7. Biarkan mendidih. Perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam.

8. Hidangkan spaghetti ini dengan serbuk keju parmesan. Sedia untuk dimakan.

 

Nota: 

Anda juga boleh menambahkan bahan-bahan lain seperti cili besar, batang saderi, tomato dan lobak merah yang didadu untuk memperkayakan rasa spaghetti dan menjadikannya versi yang lebih sihat. 

Anda juga boleh menggantikan daging kisar dengan isi ayam atau udang untuk kelainan. Selamat mencuba!