Tahukah anda apa itu ‘superbugs‘? Secara umumnya, ia adalah jenis-jenis bakteria, parasit, virus dan kulat yang tahan terhadap kebanyakan antibiotik dan pelbagai ubat yang digunakan untuk merawat gejala akibat daripadanya. Dan apa yang membimbangkan, tidak semua individu cakna akan perkara ini.

Dalam kajian yang pernah diterbitkan pada tahun 2019 di dalam di dalam jurnal The Lancet,superbugs‘ didapati menjadi punca kepada hilangnya hampir 5 juta nyawa di seluruh dunia. Ini termasuklah kira-kira 1.2 juta kematian yang berkaitan secara langsung kepada ‘superbugs‘.

Dua tahun lalu iaitu pada tahun 2017, Pertubuhan Kesihatan Sedunia memberi amaran mengenai ‘superbugs‘ yang akan menjadi ancaman kepada kesihatan manusia, yang mana antibiotik baharu untuk melawannya tidak dapat dihasilkan tepat pada waktunya. Senario ini kedengaran terlalu biasa dan serupa dengan pandemik COVID-19 di mana jangkitan cepat merebak ke serata dunia pada ketika kita ketiadaan ubat untuk melawannya. 

Bacteria outbreak and bacterial infection as a microscopic background as dangerous disease strain case as a medical health risk concept with disease cells as a 3D render.

Apa sebenarnya ‘superbugs‘ ini?

Superbug’ adalah istilah yang dicipta bagi menjelaskan bakteria yang tahan pelbagai ubat (MDR). Kebiasaannya, bakteria-bakteria ini berupaya untuk menahan kesan antibiotik, lalu membiak sama ada secara terkawal ataupun tidak terkawal dalam perumahnya.

Berdasarkan laporan Profesor Chin Beek Yoke yang merupakan Dekan Bersekutu Fakulti Sains Kesihatan bagi Hal Ehwal Penyelidikan dan Hubungan Luar Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), superbugs‘ ini bukanlah tidak boleh dihapuskan, tetapi senjata kita dalam bentuk antibiotik untuk mengalahkannya adalah sangat sedikit. 

Biarpun kita biasa mendengar mengenai stafilokokus aureus yang tahan methicillin (MRSA) iaitu sejenis ubat yang tahan jangkitan kuman stafilokokus, adalah penting untuk kita ketahui bahawa ‘superbugs‘ bukanlah sejenis bakteria tertentu sahaja dan mana-mana spesies bakteria boleh tahan antibiotik dan menjadi ‘superbugs’.

Sebagai contoh, bakteria salmonella adalah jangkitan biasa disebabkan oleh makanan dan minuman tercemar tetapi boleh menjadi amat memudaratkan kerana bakteria sangat bijak. Ia mampu bermutasi untuk mengatasi keberkesanan antibiotik. Apabila bakteria mempunyai gen rintangan, ia boleh berganda secara menegak (membiak) atau mendatar, di mana ia bergabung dengan spesies bakteria yang berbeza. Begitulah cara bakteria menyebarluaskan ciri rintangan pelbagai ubatnya secara semulajadi.

Mengapa Bakteria Boleh Melawan Antibiotik?

Beberapa penyebab utama yang menyebabkan ‘superbugs’ semakin berleluasa. Ia termasuklah dapatan preskripsi dan pemberian antibiotik yang tidak diluluskan, diperoleh dari pengeluar yang tidak disahkan keberkesanan ubat selain pesakit yang tidak menghabiskan antibiotik.

Untuk pengetahuan anda juga, pengambilan antibiotik yang tidak lengkap tidak mampu menghentikan pembiakan bakteria. Ini membolehkan MDR berkembang dan membenarkan bakteria dalam badan untuk membina ketahanan kepada ubat-ubatan.

Contohnya kes penyakit TB atau batuk kering, ia boleh menjadi bertambah buruk akibat daripada pesakit yang tidak melengkapkan rawatan ataupun penerimaan rawatan yang tidak bersesuaian boleh menjadi punca bakteria menjadi kuat dan tahan ubat.

Menurut Laporan Pengawasan Rintangan Antibiotik Kebangsaan 2020 yang diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia, kebanyakan kes-kes MDR yang direkodkan terhad di wad-wad perubatan, ortopedik dan pembedahan. Dan setakat ini, tiada lagi bukti konkrit untuk mengesahkan kewujudan MDR dalam masyarakat, namun ada peningkatan corak rintangan bagi beberapa antibiotik yang diuji ke atas strain-strain bakteria yang berlainan.

Harus diingatkan kaedah pelupusan ubat juga perlu diberi perhatian yang mendalam. Hal ini kerana, sekiranya individu membuangnya ke dalam longkang atau ke dalam tong sampah. Lebihan antibiotik ini memasuki ekosistem kita, ke dalam tanah atau barangkali berakhir ke dalam sungai dan badan air.

Oleh itu, cara yang betul melupuskan lebihan antibiotik adalah dengan membawanya ke farmasi terdekat anda. Semua ahli farmasi mempunyai kemahiran dan kelengkapan untuk melupuskan lebihan ubat-ubatan dengan kaedah yang betul bagi mengelakkan kesan yang buruk berlaku pada alam sekitar.

Bagaimana Hentikan Pembiakan ‘Superbugs’?

Bakteria tahan pelbagai ubat boleh ada di mana-mana. Oleh itu, tabiat-tabiat seperti memastikan permukaan terbuka sentiasa dilap dan hanya barang bersih yang masuk ke dalam rumah perlu diterapkan.

Bukan itu sahaja, buah-buahan dan sayuran yang baru dibeli pula harus dibasuh sebelum disimpan dan dimasak. Ia bertujuan untuk menghalang bakteria daripada membiak. Profesor Chin turut menasihati supaya tidak membiasakan sikap suka mencuba rasa buah-buahan di gerai-gerai dan pasaraya. Jika mahu mencuba sekalipun, pastikan anda mengelapnya dahulu dengan tisu basah.

Selain itu, individu dinasihatkan untuk sentiasa memakai kasut atau sarung kaki semasa berjalan-jalan di kawasan yang tanah dan air. Ia bagi mengelakkan MDR boleh melekat pada kulit dan memasuki tubuh badan melalui luka atau lecetan.

Bagi yang tidak mengetahui, bakteria dan patogen hanya boleh memasuki badan sekiranya terdapat luka pada kulit. Oleh itu, lebih baik untuk anda kerap basuh tangan, kaki atau mana-mana kawasan badan yang terdedah selepas pergi ke mana-mana kawasan.

Artikel ini dikongsi menggunakan maklumat yang disediakan oleh Dekan Bersekutu Fakulti Sains Kesihatan bagi Hal Ehwal Penyelidikan dan Hubungan Luar Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Profesor Chin Beek Yoke.