Pada acara Unpacked 2022, Samsung telah mengemaskini model jam tangan pintar yang mana tahun ini mereka membawakan dua pilihan jam iaitu Samsung Galaxy Watch5 dan Watch5 Pro.

Kedua-duanya hadir dengan dua saiz berbeza selain membawakan 4 pilihan warna yang sangat menarik. Bagi anda yang gemar memadankan warna bagi setiap barangan anda, Samsung hadir dengan warna jam yang boleh disesuaikan dengan peranti boleh-lipat mereka iaitu Graphite, Sapphire, Pink Gold dan Silver.

Selain daripada warna yang lebih variasi, Samsung turut membawakan reka bentuk jam yang diperbaharui, peningkatan fungsi yang menarik serta antaramuka yang lebih variasi jika dibandingkan dengan model sebelum ini.

Antara fungsi baharu yang ditampilkan termasuklah kebolehan menjejak aktiviti luar dalam masa nyata menerusi ciri Route Workout. Melaluinya, pengguna boleh melihat ketepatan maklumat peta, dalam masa sama fungsi Track back pula bagi mengelak risiko tersesat sewaktu melakukan aktiviti dan pulang dengan selamat.

Seterusnya, Samsung turut hadir dengan termometer terbina pada Samsung Galaxy Watch5. Menerusinya, pengguna boleh mendapatkan suhu semasa tubuh secara konsisten yang mana ciri ini dilihat berfungsi untuk norma sekarang yang memerlukan anda untuk mengetahui kondisi badan dengan lebih tepat.

Menurut Samsung lagi, kedua-dua model jam tangan pintar mereka kini dilengkapi dengan kaca Sapphire Crystal. Ia merupakan kaca yang berkualiti tinggi yang dijamin dapat memberikan pelindungan lebih baik pada skrin dan sesuai digunakan untuk aktiviti lasak.

Di samping itu, Samsung juga dilihat tidak lagi menyertakan bezel berputar sebelum ini ditampilkan pada model jam tangan Galaxy Watch4.

Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan jam tangan ini, Samsung menawarkannya pada harga:

  • Samsung Galaxy Watch5 40mm RM1,099 
  • Samsung Galaxy Watch5 44mm RM1,199.
  • Samsung Galaxy Watch5 Pro RM1,899