10 Juadah Wajib Ada Ketika Berbuka Puasa
Setiap orang pasti ada menu wajib ada ketika waktu berbuka puasa. Ia pasti rasa tidak lengkap juadah berbuka puasa tanpa menu kegemaran anda. Walaupun terdapat pelbagai menu dan juadah baru yang anda akan jumpa ketika di bazar ramadhan, namun menu wajib ini sudah pasti amat sinonim dengan selera dan citarasa anda. Tambah lagi, menu ini juga pasti laris jika anda pergi ke mana-mana bazar ramadhan di seluruh Malaysia.
1. Murtabak Daging
Dengar sahaja namanya sudah membuatkan anda tidak senang duduk. Apatah lagi jika melihat si peniaga membuat dan memasak murtabak ini di hadapan mata. Murtabak daging ini sudah tentu menjadi pilihan pertama saya jika pergi ke mana-mana bazar Ramadhan. Tambah lagi jika inti dagingnya banyak dan cukup rasa, lagi bertambah semangat saya untuk mendapatkannya.
2. Roti John
Seperti murtabak, Roti John juga merupakan salah satu juadah berbuka yang sering orang cari dan nantikan ketika berpuasa. Roti John yang menjadi pilihan saya ialah Roti John Cheese di Faris Kitchen di Sungai Abong, Muar. Bukan sahaja disirami sos-sos dan mayonis yang banyak pada atas roti, ia juga turut dibanjiri cheese leleh pada bahagian atas dan lapis tengah roti. Maka tidak hairanlah, orang ramai sanggup beratur untuk mendapatkan Roti John Cheese ini.


3. Nasi Kerabu
Menu ini bukan sahaja menjadi pilihan masyarakat di pantai timur. Malah, orang-orang di seluruh Malaysia amat menyukai hidangan tradisional dari Kelantan dan Terengganu ini. Nasi Kerabu biasanya disajikan bersama daging bakar, ayam goreng atau ayam madu, ikan goreng, budu, solok lada, telur masin dan sambal cili. Jadi, ini adalah faktor mengapa menu ini mendapat sambutan hangat di kala bulan Ramadan.
4. Nasi Tomato
Kalau waktu bulan puasa, Nasi Tomato sudah tentu menjadi pilihan ramai individu. Tambah lagi jika ia dipadankan dengan acar dan ayam merah. Biasanya, menu ini boleh didapati pada harga RM5-7 bergantung pada saiz ayam dan jenis lauk yang turut disediakan. Tapi, bagi anda yang lebih gemar untuk memasaknya sendiri, anda juga boleh mencuba resepi mudah dan pantas untuk Nasi Tomato mengikut citarasa sendiri!
Baca: Resepi Nasi Tomato Mudah Dan Sedap!
5. Ayam atau Kambing Panggang Golek
Menu ayam dan kambing golek sememangnya tersenarai antara juadah berbuka puasa yang eksklusif. Hal ini kerana harganya yang mahal dan agak sukar untuk didapatkan sewaktu hari biasa. Oleh itu, menu ini adalah salah satu tarikan istimewa di bazar ramadan yang mana para pengunjung sanggup beratur panjang untuk mendapatkannya.

6. Ayam percik
Selain ayam panggang, ayam percik juga salah satu menu wajib untuk berbuka puasa. Tahukah anda, rahsia sedap dan lazat ayam percik adalah bergantung kepada bahan perapan dan juga kuahnya. Lagi lama ia diperap, lagi sedap panggangannya.
7. Ikan atau Sotong Bakar
Bukan itu sahaja, ikan dan sotong bakar amat sinonim sebagai hidangan wajib ketika berbuka puasa. Kebanyakkan orang lebih gemar memilih sotong atau ikan bakar sebagai lauk berbuka kerana satu hidangannya sudah memadai. Berbeza dengan sotong bakar yang kita makan di kedai, sotong bakar di bazar ini dibakar sekali dengan daun pisang dan sambal lada.
8. Air Buah Gelas Besar
Di Terengganu, air buah gelas besar ini sering menjadi pilihan orang ramai setiap kali ke bazar. Lebih-lebih lagi jika ditambah buah-buah segar yang telah dipotong di bahagian atas gelas. Bila dapat air buah yang sejuk pastinya ia membantu menyegarkan tekak dan dahaga setelah seharian berpuasa. Oleh itu, minuman ini merupakan hidangan wajib ada apabila anda berbuka puasa.

9. Air Soya/ Air Tebu
Selain air buah-buahan, air soya dan tebu juga merupakan pilihan kebanyakkan individu yang datang ke bazar ramadan. Tidak kira panas atau sejuk, pasti ramai yang sanggup beratur untuk mendapatkan minuman ini untuk dijadikan air juadah berbuka puasa. Mana tidaknya, kemanisan dan kelazatan air soya dan tebu sudah tentu dapat membuka selera sewaktu berbuka nanti.
10. Kuih-kuih tradisional
Tidak lengkap juadah berbuka puasa tanpa kuih-muih sebagai desserts. Antara kuih yang popular di bulan ramadan termasuk kuih onde-onde atau kuih gula melaka, kuih tepung pelita, kuih seri muka dan popia basah. Di pantai timur, sudah tentu kuih akok, puding karamel dan kuih puteri berendam menjadi kuih pilihan orang di sana.
________________________________________________________________________________________
Jadi, ini perkongsian saya untuk juadah wajib ketika berbuka puasa nanti. Ia bukan sahaja boleh didapatkan di mana-mana kedai atau restoran, malah ada juga hidangan wajib yang anda boleh dapatkan di bazaar ramadan di sekitar anda. Tidak lengkap Ramadan saya tanpa 10 menu wajib ini. Bagaimana pula dengan anda? Salam Ramadan 🙂