5 Aplikasi Suntingan Video Menerusi Peranti Mudah Alih- Sesuai Untuk IGTV, TikTok
Perkembangan teknologi kini dilihat sudah semakin pesat yang mana semuanya dilihat telah bergerak pantas selari dengan peredaraan dunia.
Jika dahulu, suntingan video hanya boleh dilakukan menerusi komputer sahaja. Namun kini, aksesnya tidak lagi terhad dan boleh dilakukan pada bila-bila masa dan dimana jua anda berada.
Aktiviti suntingan video juga sudah semakin sinonim dengan masyarakat di Malaysia. Ramai individu sudah beralih daripada penulisan di media untuk penyampaian berita kepada pemaparan video untuk informasi yang lebih jelas dan jitu.
Untuk memudahkan lagi proses suntingan dilakukan, terdapat pelbagai aplikasi yang tersedia di kedai talian App Store dan Play Store yang boleh dimuat-turun.
Berikut adalah beberapa cadangan aplikasi suntingan video yang boleh anda dapatkan selain menawarkan pelbagai jenis alat suntingan dan perisian yang bersesuaian dengan keperluan pasaran.
Adobe Premiere Rush
Tidak dinafikan, sememangnya Adobe mempunnyai perisian untuk suntingan yang sangat baik. Tambahan ia boleh diakses tidak kira di peranti pintar sama ada laptop mahupun telefon.
Jika anda ingin melakukan suntingan berat, sudah tentu anda akan memilih perisian seperti Premiere Pro, After Effects dan Audition. Namun, jika untuk aktiviti sunyingan yang lebih ringan, Premier Rush adalah jawapan yang terbaik. Aplikasi ini bukan sahaja dapat memproses klip dengan cepat malah, prosedur untuk memuat naik ke platform sosial juga mudah.
Aplikasi ini sesuai untuk melakukan tugas penyuntingan video biasa seperti memotong klip video, menambah penuras warna, meletakkan muzik atau suara, atau menambahkan tajuk dan transitions.
Tersedia untuk iOS dan juga Android yang ditawarkan pada harga RM41.50/bulan untuk individu.
Magisto
Aplikasi Magisto ini dikuasakan oleh sokongan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) yang direka memudahkan penyuntingan video dan membolehkan pengguna melakukan tiga langkah mudah untuk menghasilkan video yang diinginkan.
Pertama, pengguna perlu memilih video dan gambar yang diinginkan. Selepas itu, akses ke tab library dan tambah pelekat, teks dan penuras yang disukai. Mudah bukan?
Tersedia untuk iOS dan juga Android yang ditawarkan secara percuma.
InShot
Bagi anda yang tidak ingin berbelanja lebih untuk aplikasi suntingan video, Inshot adalah aplikasi penyuntingan video percuma yang sesuai untuk dimuat-naik di media sosial.
Inshot adalah menawarkan segala keperluan yang anda inginkan untuk menyunting video untuk IGTV dan TikTok.
Dengan antaramuka yang jelas dan menarik, aplikasi ini menjadikan proses suntingan lebih lancar dan mudah untuk mengimport, memotong dan menyunting klip serta menambah penuras, pelekat, teks, emoji dan juga muzik.
Tersedia untuk iOS dan juga Android yang ditawarkan secara percuma.
Filmora
Sekiranya anda ingin mencari aplikasi yang mudah dan praktikal untuk menyunting video secara atas talian.
Salah satu fungsi yang menarik pada Filmora adalah membolehkan pengguna membuat video daripada rakaman dan klip yang dapat dimainkan pada masa yang sama. Pengguna juga dapat menambahkan audio, video, teks, penapis dan melakukan peralihan video.
Bukan itu sahaja, pengguna juga dapat meningkatkan kualiti video dengan kesan dan animasi tambahan.
Tersedia untuk iOS dan juga Android yang ditawarkan secara percuma.
Viva Video
Aplikasi ini sudah tidak asing lagi untuk segelintir individu yang telah menggunakan aplikasi suntingan mudah alih sejak dahulu lagi.
Ia hadir untuk langganan secara percuma dan juga Pro Video Editor dengan semua ciri penyuntingan video seperti memotong dan menggabungkan video, menambah audio dan muzik, menggunakan pelekat ke video serta menambahkan teks ke video.
Beberapa penuras menarik yang ditawarkan termasuk kesan bokeh pada video, pilihan tema moden untuk Tiktok dan banyak lagi.
Tersedia untuk iOS dan juga Android yang ditawarkan secara percuma.
Terdapat pelbagai pilihan aplikasi suntingan yang boleh anda cuba di App Store dan juga Play Store. Anda boleh mengetahui aplikasi suntingan gambar dan asah mengasah kreativiti dan menyerlahkan gambar anda untuk kelihatan seakan gambar professional.