Carian
Asal Usul Perodua – Jenama Kereta Paling Popular Di Malaysia?
November 15, 2020 Lina Rosli

Seperti yang banyak anda lihat di atas jalan raya, Perodua adalah salah satu jenama kenderaan yang paling digemari oleh rakyat Malaysia.

Mungkin ia disebabkan saiznya kompak dan harganya yang rendah, ia menjadi salah satu sebab mengapa sesetengah individu memilihnya.

Pernahkah terlintas di fikiran anda mengapa Perodua dinamakan sebagai Perodua? Apakah maksud di sebaliknya?

Kenapa Perodua? Perodua adalah singkatan kepada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd yang diubah menjadi Per O Dua. Menarik bukan?

Sejarah Perodua – Bagaimana Ia Diperkenalkan?

Tahukah anda, Perodua Kancil adalah kereta pertama yang dikeluarkan oleh Perodua?

Memfokuskan kepada kereta kompak atau supermini, Perodua ditubuhkan pada tahun 1993 oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd. Jenama ini menampilkan reka bentuk dan komponen dalaman daripada Daihatsu sejak awal pengenalannya. Mengapa? Hal ini kerana Daihatsu memegang saham sebanyak 20% pada awal pelancaran.

Namun pada tahun 2017, Perodua memperkenalkan Myvi generasi ketiga yang mana generasi Myvi ini merupakan buatan tempatan dan bukannya dari Daihatsu Boon. Kemasan dan rekaan disusun oleh Muhamad Zamuren Musa yang juga pereka untuk Perodua Bezza. Walau bagaimana, Toyota dan Daihatsu masih lagi akan memberikan khidmat nasihat dan penyediaan enjin kepada Perodua dalam menghasilkan Myvi baru.

Menariknya, Perodua ini turut diperkenalkan di pasaran antarabangsa iaitu di Brunei pada tahun 1995 dan United Kingdom pada tahun 1997 untuk model Kancil. Di UK, Kancil dijual sebagai Perodua Nippa.

Mengapa Perodua Menjadi Pilihan Pengguna Di Malaysia?

Syarikat Perodua dilengkapi dengan kenderaan yang berbeza-beza yang dapat menarik pembeli terutamanya yang mahukan kenderaan yang berpatutan disamping hadir dengan penawaran yang cekap. 

Perodua kebanyakannya menyasarkan kepada individu yang baru bekerja atau keluarga yang ingin membeli kereta berkualiti dengan harga berpatutan.

Selain dari penawaran harga yang rendah, kebanyakan model Perodua seperti Axia, Bezza dan Myvi juga hadir dengan teknologi yang dapat menjimatkan bahan api. Bagi pengguna atau pemandu yang mempunyai jarak perjalanan harian yang jauh, sudah tentu kenderaan yang menawakan kos penggunaan bahan api yang rendah lebih menjadi pilihan berbanding yang lain.

Berdasarkan penggunaan sendiri, kuantiti bahan api sekitar 5.0 L boleh memandu sehingga jarak 100km. Namun, ia mungkin juga bergantung kepada cara pemanduan mengikut situasi.

Bercakap mengenai cara pemanduan, salah satu sebab mengapa jenama ini menjadi pilihan pengguna termasuk saiznya yang kompak. Dengan ini, ia memudahkan pergerakan di atas jalan raya dan juga sewaktu ingin parkir kenderaan.

Bukan itu sahaja, Perodua juga hadir dengan reputasi yang baik untuk produk pengeluarannya. Sebagai contoh mengapa Myvi sering menjadi pilihan utama pemandu di Malaysia adalah disebabkan penawaran enjin yang baik dan juga menjamin prestasi pemanduan yang selesa. 

Kaedah Memposisikan Model Yang Efisien

Becakap mengenai Perodua juga, jenama ini dilihat berjaya dalam memposisikan model kenderaannya di pasaran.

Sebagai contoh, Axia, A Car For All Malaysian yang dilancarkan pada tahun 2014 menjadi salah satu model yang terlaris. Dengan penawaran harga yang agak rendah menjadikannya kereta paling berpatutan di Malaysia. Axia menggunakan enjin EEV yang meningkatkan penggunaan bahan bakar dan mengurangkan tahap kebisingan selain bahagian dalamnya memberikan keselesaan dan kemudahan yang luar biasa.

Kemudian, Bezza The Smart And Stylish Sedan pula hadir dengan binaan enjin ringan dan jimat bahan api kini juga semakin mendapat populariti dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sama ada anda mencari kereta pertama pada awal kerja atau kereta keluarga besar,  jenama Perodua selalu menjadi pilihan yang baik untuk semua pemilik kereta. Ini telah dibuktikan oleh prestasi, harga yang berpatutan dan juga reputasi jenama itu sendiri. 

Selain Perodua, kini Proton juga sudah banyak hadir dengan pelbagai teknologi terkini. Namun, tahukah anda Proton antara kereta pertama di Malaysia yang menggunakan gear AT?

Sumber: PeroduaPaultanAuto Revolution

Komen