Carian
Generasi VS Sosial Media- Bagaimana Setiap Generasi Menggunakan Instagram?
November 23, 2020 Lina Rosli

Generasi VS Sosial Media- Bagaimana Setiap Generasi Menggunakan Instagram?

Sebelum ini, Tajria pernah berkongsi kepada anda kadar data yang dikongsikan individu di seluruh dunia sewaktu berada di laman maya. Antara platform yang tersenarai termasuk Instagram iaitu sebanyak 347,222 kandungan Instagram Stories diterbitkan pada masa yang sama.

Dengan adanya internet, dunia telah berubah menjadi satu medium komunikasi global. Manusia dilihat telah banyak beradaptasi dengan cara komunikasi maya dan industri telah bersiap sedia dengan pelbagai kemudahan dalam memastikan setiap individu dapat berhubung sepanjang masa.

Ketahui Pengguna Instagram Di Malaysia

Menurut data dari Napoleon, lebih daripada separuh populasi pengguna Instagram global adalah dari generasi berumur sekitar 18 hingga 34 tahun. Selain itu, Instagram berada di tangga yang keempat untuk aplikasi mudah alih yang digunakan di Malaysia sehingga Oktober 2020.

Ia menunjukkan peningkatan sekitar 1.7 juta penggunan iaitu 13,368,000 pada Oktober 2020 berbanding 11,650,000 pengguna pada Oktober 2018.

Data Oktober 2020 merangkumi 40.2% daripada keseluruhan penduduk di Malaysia dan 53.4% daripadanya adalah wanita.

Impak Penawaran Kandungan Untuk Pengalaman Penggunaan

Apabila telah mengetahui jumlah pengguna aplikasi Instagram, mari kita lihat apa impak penggunaan Instagram kepada tabiat pengguna media sosial mengikut generasi.

Bukan itu sahaja, bagaimana kemaskini yang ditampilkan akan mempengaruhi tabiat penggunaan media sosial individu.

Tidak dinafikan generasi Z atau millennial semestinya sudah arif dan akan menghabiskan banyak masa di media sosial jika dibandingkan dengan generasi X atau boomers.

Hal ini kerana, millennial cenderung menggunakan media sosial sebagai ‘aspirasi’ atau medium untuk mengetahui perkara yang sohor kini selain menjadi tempat untuk mengikuti akaun orang yang mereka kagumi.

Manakala, boomers pada umumnya tidak menghabiskan banyak masa di platform atas-talian seperti generasi muda. Mereka lebih cenderung menggunakan media sosial untuk berhubung dengan rakan dan keluarga.

Berbanding Instagram, YouTube adalah platform yang lebih popular dan digemari dalam kalangan boomers.  Berdasarkan data yang dikeluarkan Statista, sekitar 70% boomers mengatakan bahawa mereka selalu menggunakannya berbanding rangkaian sosial yang lain.

Ia berkemungkinan disebabkan oleh penawaran dan terbitan kandungan yang meliputi pelbagai topik sama ada berinformatif seperti berita dan ceramah atau kurang berinformatif seperti hiburan atau inforia. Bukan itu sahaja, Youtube dilihat sebagai alternatif untuk kandungan yang ditayangkan di televisyen.

Untuk Apa Millennial Menggunakan Instagram?

Mengikut tinjauan oleh Pew Research Center, ia menunjukkan bahawa hampir 45% daripada millennial selalu berada di atas-talian dan 95% mempunyai peranti mudah alih dan akses kepadanya.

Dan faktor penggunaan Instagram dalam kalangan milennial adalah:

Kongsi aktiviti harian

Milennial menganggap media sosial sebagai tempat untuk membuat semua orang sentiasa mengetahui tentang kehidupan seharian mereka. Oleh sebab itu, kumpulan ini adalah yang paling banyak menyiarkan dan menerbitkan kandungan di platform berkenaan.

Platform Untuk Mengembangkan Perniagaan

Selain itu, sohor kini dalam kalangan millennial kini adalah mereka menjadikan platform untuk mereka mengembangkan perniagaan dan membina jenama sendiri.

Ia banyak berlaku dalam kalangan pencipta kandungan yang kini mula aktif dalam membawakan jenama sendiri yang merangkumi produk kecantikan, fesyen dan juga servis makanan.

Menginginkan Kandungan Yang Lebih Ringkas Dan Padat

Individu yang tergolong dalam generasi ini sering memeriksa suapan berita di media sosial secara berkala bagi mengetahui lebih perkara yang berlaku namun dalam bentuk kandungan pendek.

Selain itu, platform seperti Instagram juga menyajikan kandungan yang berbentuk visual yang mana lebih mudah untuk difahami dan dikongsi kepada rakan dan ahli keluarga yang lain.

Disebabkan mereka berada di atas-talian untuk tempoh yang lebih lama, kandungan yang ditawarkan di platfrom ini juga perlu ringkas dan bergerak pantas bagi memenuhi keperluan yang diinginkan pengguna millennial.

Boomers Lebih Gemar Maklumat Yang Lebih Meluas

Secara amnya, kumpulan ini mempunyai kadar kepercayaan kepada internet yang lebih sikit berbanding golongan muda. Disebabkan perkembangan internet baru sahaja meningkat sejak 5 tahun ini, golongan ini lebih gemar untuk menghabiskan banyak masa untuk meneliti sebelum membuat pembelian dan juga ingin mengetahui fungsi produk dengan lebih mendalam.

Selain itu, golongan ini juga tidak seperti millennial yang lebih berani untuk mencuba sesuatu yang baharu. Jadi, apabila mereka sudah berasa selamat dan terbiasa dengan satu platfom, maka kadar retensi mereka kepada platform itu lebih rendah.

Akhir sekali, kajian juga mendapati bahawa 60% daripada golongan boomers lebih menyukai kandungan berasaskan video berbanding infografik atau bacaan biasa. Ia mungkin disebabkan faktor tidak tahu membaca, cara penyampaian video yang lebih mudah dan santai dan mungkin juga sudah terbiasa dengan media massa tradisional iaitu televisyen.

Oleh sebab itu juga, Youtube adalah pilihan utama kebanyakan golongan ini.

Sumber: Napoleon Cat, Forbes, Think With Google

Komen