Lina Rosli Diterbitkan 28 November 2020

Ikuti 5 Tips Mudah Untuk Menguruskan Sisa Makanan Di Rumah Anda

Ikuti 5 Tips Mudah Untuk Menguruskan Sisa Makanan Di Rumah Anda

Bagi anda yang kerap masak masak dan makan di rumah, pernahkah anda menghadapi masalah dalam menguruskan sisa makanan atau lauk yang berlebihan setiap kali selepas waktu makan?

Jika tidak, apakah kaedah atau cara yang anda selalu lakukan?

Brown Wooden Framed Glass Window

Sebilangan besar individu tidak menyedari kuantiti makanan yang mereka buang setiap hari. Di Malaysia, purata janaan sisa pepejal adalah sekitar 2,173 tan sehari dicatatkan pada awal bulan Mac 2020 lalu. Namun jika dibandingkan pada tahun yang sebelum, jumlah purata yang dilaporkan adalah lebih tinggi iaitu kira-kira 16,000 tan sisa makanan dibuang setiap hari pada tahun 2019.

Pengurusan sisa pepejal atau sisa makanan ini adalah amat penting dan patut diambil peduli oleh setiap individu. Dengan mengurus makanan secara berkesinambungan, kita dapat membantu memulihara sumber untuk generasi akan datang.

Jadi, Tajria hari ini berkongsi tips untuk menguruskan sisa makanan di rumah anda agar kebersihan rumah dan persekitaran akan lebih terjamin.

Masak mengikut kapasiti dan keperluan

Cara paling mudah untuk mengurangkan sisa makanan adalah dengan menghasilkan atau menyediakan hidangan makanan pada kuantiti yang sedikit. Sebagai contoh, jika anda masak untuk makan seorang, maka tidak perlulah anda menyediakan makanan berlebihan dan elakkan daripada menyediakan lebih dari dua hidangan yang berbeza.

Tips untuk mengurangkan jenis lauk, anda mungkin boleh menggabungkan atau mencampurkan dua hidangan menjadi satu. Contohnya, saya akan menggoreng ayam dan tambah sedikit sayur di dalamnya. Ia bukan sahaja lebih efisien malah masa penyediaan juga adalah lebih sekejap.

meat with sauce in black bowl

Sumbang makanan kepada golongan yang memerlukan

Jika anda melakukan majlis atau makanan yang disediakan mungkin terlalu banyak, maka adalah lebih baik jika ia dikongsikan bersama yang memerlukan. Pastikan makanan yang ingin disumbangkan masih lagi dalam keadaan baik dan selamat untuk dimakan. 

Elakkan membeli stok barangan dapur secara berlebihan

Pastikan anda hanya membeli bahan-bahan yang anda perlukan untuk keperluan seminggu atau dua minggu untuk penyediaan makanan di rumah anda. Jika anda beli secara berlebihan, ia bukan sahaja menyebabkan makanan anda berisiko untuk rosak, malah ia turut mendorong kepada pembaziran.

Simpan makanan dengan betul

Pastikan peti sejuk dan juga peti seju beku anda beroperasi pada suhu yang tepat.  Menyimpan makanan dalam keadaan yang betul sangat penting untuk menjaga kualitinya dan mencegah pertumbuhan bakteria patogen selain mengelakkan daripada berlaku pembaziran makanan. Sebagai contoh, lauk yang masih ingin dimakan selepas itu perlu ditutup dan disusun kemas agar lalat atau serangga tidak memasuki ke dalam lauk.

silver French-door refrigerator

Buang tabiat suka menyimpan di peti sejuk

Ini adalah salah satu tabiat yang selalu ada di dalam diri individu. Anda mungkin merasakan yang mana anda akan makan makanan yang tidak habis di hari yang lain, padahal hakikatnya tidak. 

Walaupun peti sejuk adalah tempat yang paling baik dalam memastikan kualiti makanan terjaga, namun jika tidak dimakan pada waktu yang sepatutnya, makanan tersebut tetap juga akan busuk dan tidak elok.

Amalkan tabiat, ‘first in, first out’.

Caranya, anda letakkan makanan yang baru di belakang yang lama. Ini membantu mengurangkan peratusan makanan tersebut tidak dijamah selain membantu anda mengenalpasti makanan mana yang sudah hampir rosak.

________________________________________________________________________

Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengasingkan sampah hijau dan sampah coklat bagi membantu menyediakan baja kompos. Contoh sampah coklat adalah sisa yang kering seperti sayuran kering. Sampah hijau pula adalah seperti sisa dapur dan kopi dan lain yang lembap.

Pengkomposan atau composting adalah kaedah terbaik untuk menggunakan barang-barang di dalam peti sejuk yang sudah tidak segar atau tidak elok. Dengan ini, anda boleh menjimatkan perbelanjaan untuk membeli baja jika anda bercucuk tanam di rumah.

Baca juga: Sediakan Bahan Kompos Untuk Tanaman – Menggunakan Lebihan Makanan Di Peti Sejuk