Lina Rosli Diterbitkan 13 January 2020

Apa Tawaran Yang Tersedia Dalam Dompet Digital Boost?

Apa Tawaran Yang Tersedia Dalam Dompet Digital Boost?

Kerajaan Malaysia kini hadir dengan inisiatif untuk mengembangkan penggunaan perkhidmatan dompet digital nirtunai menerusi program eTunai RM30. Melalui penawaran inisiatif ini, pengguna boleh menebus kredit sebanyak RM30 di salah satu daripada tiga dompet digital terpilih bermula 15 Januari 2020. Tiga perkhidmatan dompet digital yang dipilih adalah TNG e-wallet, GrabPay dan Boost.

Sebelum ini, Tajria telah berkongsi beberapa maklumat mengenai tawaran dan promosi yang disediakan oleh perkhidmatan dompet digital Touch n’ Go. Untuk dompet digital seterusnya, Boost turut menawarkan banyak ciri dan pelbagai promosi menarik. 

Pembayaran Secara Nirtunai Di Klinik Kesihatan

Menarik mengenai dompet digital Boost ini, pengguna kini boleh membuat pembayaran di klinik kesihatan terpilih. Menerusinya, pengguna akan dikenakan caj pendaftaran sebanyak RM1 untuk perkhidmatan kesihatan am, dan RM5 untuk perkhidmatan pakar. Caj berkenaan kini boleh dibayar menggunakan dompet digital Boost. Penggunaan dompet digital Boost di klinik kesihatan dan hospital akan diperluaskan secara berfasa dalam jangkamasa dua hingga tiga tahun lagi.

Menyumbang Derma Secara Nirtunai

Selain pembayaran di klinik, Boost juga hadir dengan fungsi lain pada aplikasi iaitu E-Derma. Ciri ini berfungsi bagi penggunaan sumbangan sosial secara nirtunai. Terdapat 30 badan kebajikan dan rakan NGO telah turut serta dalam platform ini. 

Pembelian Tiket Pengangkutan Awam

Pengguna Boost turut menggunakannya dalam melakukan pembayaran nirtunai untuk pengangkutan awam termasuk KLIA Ekspress, KTM, EzCab, CatchThatBus, dan juga CityCarPark. Menerusi langkah ini, ia menjadikan Boost lebih mesra pengguna, selamat dan mudah diuruskan menerusi satu dompet digital sahaja. 

Pembayaran Bil-Bil Utiliti Dan Ganjaran Wang Tunai

Bukan itu sahaja, pengguna Boost boleh menggunakan pelbagai perkhidmatan lain termasuk tambah-nilai prabayar, bayaran bil-bil utiliti, pulangan tunai dan ganjaran wang tunai segera melalui ciri “Shake”. Malah, Boost juga turut menawarkan kemudahan membayar di kedai fizikal dengan mengimbas kod QR.

Antara kedai yang menawarkan sokongan kod QR Boost adalah Watson, Caring Pharmacy, Tesco, Giant, Speedmart 99, KFC, Tealive, MBO, TGV, Shell dan banyak lagi.

Sokongan Bayaran Tempat letak Kenderaan

Perkhidmatan Boost turut  menambah sokongan untuk membuat bayaran tempat letak kenderaan pada aplikasi. Pengguna boleh menambah maklumat berkenaan kenderaan dan seterusnya memilih lokasi parkir dan membayar terus menggunakan aplikasi berkenaan. Buat masa ini, Boost hanya menawarkan sokongan untuk tempat letak kenderaan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sahaja. Kita mungkin melihat mereka memperluaskan sokongan lokasi untuk bayaran tempat letak kenderaan ini dalam bulan-bulan akan datang. 

Berdasarkan ciri dan tawaran yang dikongsikan, setiap dompet digital menawarkan pelbagai kebaikan yang tersendiri. Bagi yang berminat, anda boleh mula memuat-turun aplikasi Boost di Play Store dan App Store. Untuk program eTunai yang disediakan kerajaan, pengguna boleh mula mengesahkan akaun yang ingin digunakan untuk penerimaan kredit bernilai RM30. Pengagihan ini dijangka dilakukan antara 15 Januari 2020 sehingga 14 Mac 2020 kelak.