Antara masakan kedai yang saya teringat-ingat sepanjang tempoh PKP ini ialah ayam goreng berempah. Terutama sekali dimakan dengan nasi panas-panas, papadam, sayur kobis goreng dan kuah kari. Eh, sama pulak macam menu di kedai mamak? Sekali sekala tukar selera makan makanan ala kedai apa salahnya ya?

Semalam kami kongsikan dengan anda resepi kari daging. Hari ini kami kongsikan resepi ayam goreng berempah ala mamak. Kombinasi makanan ini bersama-sama sangatlah membuatkan air liur kecur. Mari kita lihat resepinya:
Kandungan kalori: 427 kcal (keseluruhan bahagian peha ayam)
Tempoh penyediaan bahan-bahan: 1 jam 10 minit (termasuk tempoh perapan)
Tempoh memasak: 20minit
Saiz hidangan: 2 orang
Bahan-Bahan:
- 2 ketul besar peha ayam (tidak dipotong)
- 1 camca teh serbuk kunyit
- 1 -2 sudu besar serbuk kari ayam (ikut citarasa anda)
- 1 sudu besar serbuk cili (boleh dilebihkan sekiranya anda sukakan pedas)
- 5 sudu besar tairu/ yoghurt tanpa perisa
- 1 1/2 inci halia ditumbuk halus
- 5 ulas bawang putih ditumbuk halus
- 3 sudu besar tepung gandum
- 3 tangkai daun kari
- Garam secukupnya
Tips: sekiranya anda tidak mempunyai tairu/ yoghurt tanpa perisa, anda boleh membuat buttermilk sendiri dengan menggunakan 1 cawan susu yang dicampurkan 1 sudu besar cuka/ jus lemon dan dibiarkan selama 5 minit. Ambil 5 sudu sahaja untuk digunakan dalam resepi ini. Baki selebihnya boleh disimpan dalam peti ais dan hendaklah dihabiskan dalam tempoh 3 hari.
Cara penyediaan:
- Campurkan kesemua bahan dia atas kecuali ayam sehingga sebati. Salutkan ayam dengan sekata dan perap sekurang- kurangnya 1 jam.
- Panaskan kuali dan setelah minyak panas, goreng selama 20 minit dengan api sederhana besar sehingga benar-benar masak.
- Balikkan ayam beberapa kali. Selepas diangkat, biarkan ia selama 5 minit sebelum anda memotongnya kepada dua bahagian.
- Ayam goreng berempah ala mamak kini sedia dihidangkan. Selamat mencuba!