Serum Atau Essence – Apakah Perbezaan Untuk Produk Ini?
Jika anda lihat di pasaran atau drugstore (farmasi) seperti Watson dan Guardian, terdapat banyak barisan produk yang boleh anda dapati untuk kegunaan harian. Namun disebabkan oleh lambakan produk yang dijual di pasaran, pasti akan timbul kekeliruan ketika ingin mendapatkan seseuatu produk.

Sebelum ini, Tajria ada mengupas tentang penggunaan toner atau penyegar di dalam rutin harian. Jadi untuk artikel kali ini, Tajria akan mengupas tentang perbezaan di antara produk serum dan essence dalam membantu menyediakan rutin kecantikan yang lebih efisien.
Apakah itu serum? Serum adalah sejenis cecair yang pekat dan likat. Kebiasaannya, selepas membersihkan kulit menggunakan pembersih muka, anda memerlukan serum untuk menggantikan atau menambah nutrien di dalam kulit muka anda. Selain itu, serum juga akan membantu mengunci kelembapan kulit yang mana ia akan digunakan sebelum anda memakai pelembap.
Apa itu essence? Essence pula adalah cecair yang membantu menyuburkan pemukaan kulit anda. Jika dibandingkan dengan serum, ia mempunyai tekstur cecair yang lebih ringan dan kebiasaannya digunakan selepas menggunakan pembersih muka dan penyegar.
Perbezaan Di Antara Serum Dan Essence
Apabila sudah mengetahui informasi ringkas mengenai serum dan essence, barulah kita mengupas tentang perbezaan untuk kedua-dua produk ini.
Terdapat tiga perbezaan utama untuk kedua-dua produk ini, iaitu; bahan yang digunakan, tekstur dan penggunaan berdasarkan umur. Berikut adalah beberapa penjelasan untuk penggunaan produk mengikut kepentingan peribadi individu.
Bahan Yang Terkandung
Serum mengandungi bahan dengan kepekatan yang tinggi seperti retinol, hyaluronic acid, glycolic acid dan vitamin C. Bahan ini masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri seperti membantu mengurangkan proses penuaan, memberikan nutrien yang berkhasiat untuk kulit serta merawat keadaan kulit seperti melawan keradangan dan meningkatkan produksi kolagen.
Sementara untuk essence pula mengandungi bahan-bahan semulajadi seperti aloe vera dan buah-buahan. Essence juga mengandungi formula yang mefokuskan garis halus, kulit kusam dan tidak rata selain mempunyai bahan aktif yang mengoptimumkan kadar perolehan sel semula jadi kulit anda.
Tekstur
Untuk serum, ia mempunyai tekstur seakan gel tanpa warna. Oleh sebab serum hadir dengan tekstur gel, ia mampu memberi kehidratan yang dengan lebih berkesan berbanding krim biasa keran molekul-molekul gel boleh menembusi kulit dan menghidrat dengan lebih mendalam. Manakala krim pula lebih cenderung untuk tinggal di lapisan atas kulit.
Essence mempunyai manfaat yang hampir sama dengan serum. Namun, ia mempunyai tekstur molekul yang lebih rendah daripada kebanyakan krim harian. Ia juga berfungsi untuk menembusi kulit jauh lebih dalam berbanding pelembap.
Kegunaan Untuk Umur
Essence adalah suatu keharusan bagi wanita yang lebih muda (biasanya) yang mana tidak memerlukan serum dalam rutin penjagaan kulit mereka. Sebaliknya, serum sering digunakan oleh wanita pada peringkat umur yang lebih matang yang mana serum mampu memberikan perubahan ketara pada tekstur kulit mereka.
Selain itu, disebabkan tekstur serum yang lebih pekat, ia juga mampu melawan komplikasi kulit yang serius. Serum juga digunakan oleh wanita atau individu yang mempunyai kulit bermasalah.
________________________________________________________________________
Dengan ini dapat disimpulkan yang mana penggunaan serum dan essence adalah bergantung kepada keperluan dan keadaan kulit seseorang individu. Oleh itu, sebelum menggunakan produk, pastikan anda mengetahui apa yang diperlukan oleh kulit anda dan pilih produk dengan bahan yang sesuai. Abaikan semua yang terdapat pada label kecuali bahan-bahannya. Seterusnya, pilih tekstur yang sesuai dengan jenis kulit anda selain cari produk yang diperlukan oleh kulit anda. Selamat mencuba!