Sejarah Ubat Gigi – Pernah Dicipta Dari Tulang Hancur, Arang Dan Kulit Pokok
Seperti yang anda tahu, penjagaan diri sangat penting dalam memastikan kebersihan dan kesihatan diri terjaga. Bermula dari rambut sehinggalah ke kaki, semuanya mempunyai produk yang khusus bagi menjamin diri anda dalam keadaan yang baik.
Untuk mulut, antara produkutama yang penting adalah ubat gigi. Tetapi pernahkah anda terfikir daripada mana asalnya ubat gigi? Adakah ia hanya dicipta sewaktu zaman moden ataupun telah lama digunakan sejak zaman purba lagi?
Jadi, hari ini Tajria akan berkongsi kepada anda sejarah ubat gigi dan bilakah ia mula diperkenalkan.
Asal Usul Ubat Gigi
Sehingga kini, masih tidak diketahui apakah bahan pertama yang digunakan sebagai ubat gigi. Namun, kajian menunjukkan orang Mesir Purba adalah antara pertama yang menggunakan ubat gigi iaitu sekitar tahun 3000 hingga 5000 SM.
Pada waktu itu, mereka menggunakan abu tepung dari kuku lembu, kulit telur, batu apung, dan air yang mana secara umumnya ubat gigi zaman dahulu mungkin dicipta dalam bentuk serbuk.
Penggunaan serbuk sebagai ubat gigi ini turut dilihat pada zaman Yunani dan Rom. Namun bahan yang digunakan adalah ulang hancur dan cengkerang tiram.
Sementara untuk masyarakat di China dan India menggunakan ubat gigi sekitar 500 SM. Pada zaman ini, ia dilihat hadir dengan pelbagai jenis ramuan seperti ginseng, pudina herba, dan garam.
Jika dilihat pada bahan yang digunakan, produk ini dahulunya hanya memfokuskan kepada pemutihan gigi serta memberikan nafas yang segar.
Bilakah ubat gigi dicipta?
Sudah tentu ubat gigi yang digunakan pada zaman Purba dahulu tidak sama dengan apa yang kita lihat di pasaran sekarang.
Pengenalan ubat gigi ini terus berkembang pada tahun 1850-an yang mana ubat gigi telahpun mengandungi sabun atau kapur. Jenama pertama yang memulakan penawaran ubat gigi adalah Colgate. Ia diperkenalkan pada tahun 1873 dengan rekaan bekas ubat gigi berbentuk tabung yang serupa dengan tiub ubat gigi moden pada tahun 1890-an.

Selepas tahun 1945, pengeluar ubat gigi sudah mula menggantikan sabun dengan bahan lain yang lebih memfokuskan kepada kekuatan dan keperluan tumbesaran gigi. Dengan kemajuan pergigian dan penyelidikan pada abad kedua puluh, ubat gigi moden dikembangkan untuk mencegah atau merawat penyakit dan keadaan tertentu seperti kepekaan gigi dan kerosakan gigi.
Ubat gigi dengan fluorida pula mula dipasarkan pada tahun 1914. Bahan fluorida ini dicampurkan bagi membantu mencegah hakisan. gigi sekaligus boleh merosakkan enamel.
Tahukah Anda, Terdapat Fungsi Lain Untuk Ubat Gigi Selain Membersihkan Gigi?
Terdapat beberapa fungsi lain yang boleh anda lakukan menggunakan ubat gigi.
Antaranya, ia boleh digunakan sebagai balsem yang melegakan gigitan serangga, larutan pembersih untuk perabot plastik, menghilangkan kotoran krayon dari kertas dinding.
Malah anda juga boleh menghilangkan calar pada skrin dan menyingkirkan bau busuk pada kulit ketika menggunakan pewarna rambut.
Baca lanjut: Adakah Ubat Gigi Boleh Menghilangkan Calar Pada Kereta?
Berikut adalah beberapa fakta menarik mengenai ubat gigi dan sejak bilakah ubat gigi mula diperkenalkan. Di harap perkongsian ini sedikit sebanyak memberikan informasi yang berguna kepada anda.