Carian
Adakah Samsung Galaxy A52 Boleh Kembalikan Minat Saya Terhadap Peranti Android?
April 9, 2021 Lina Rosli

Sebelum ini, Tajria pernah berkongsi pengalaman pertama menggunakan Samsung Galaxy A52. Jadi, untuk kali ini pula kami berminat untuk menceritakan secara menyeluruh tentang apakah perasaan penggunaan peranti ini berbanding telefon pintar yang Tajria gunakan sebelum ini.


Melayari Media Sosial Pada Skrin Yang Besar

Secara umumnya, pada awal penggunaan Samsung Galaxy A52, ia boleh dikatakan agak janggal kerana saiznya yang sedikit tinggi berbanding peranti yang lain. Jika saya gunakan peranti pada sebelah tangan, pengalamannya agak kurang lancar yang mana ia sedikit kekok untuk menggerakkan jari dan menatal garis masa Twitter ataupun Instagram di skrin.


Ia mungkin disebabkan ia hadir dengan saiz skrin 6.5-inci yang mana tidak begitu sesuai dengan saiz tangan penulis sendiri. Walau bagaimanapun, disebabkan saiz yang yang besar, pengalaman menonton video dan juga gambar pada media sosial adalah sangat memuaskan.


Tambahan lagi dengan penawaran kadar segar semula 90Hz, maka ia boleh dikatakan agak baik dan tidak mengganggu kerana pergerakan grafik yang muncul pada skrin boleh dikatakan lancar.

Muat Naik Instagram Stories Tanpa Rasa Gentar

Bercerita mengenai penggunaan media sosial pada Samsung Galaxy A52 juga, penulis adalah seorang pengguna Instagram Stories yang kerap. Saya gemar memuat-naik gambar makanan dan kadangkala merakam persekitaran yang menarik untuk disimpan di dalam Archived Instagram.

Berdasarkan pengalaman penulis, kualiti video Boomerang dan juga gambar yang diambil menerusi peranti ini adalah baik sekali. Ia boleh dikatakan sudah banyak penambahbaikkan yang ditampilkan oleh Samsung berbanding siri Galaxy A sebelum ini.



Untuk penjelasan lebih lanjut, warna yang ditampilkan pada Instagram dilihat agak jelas. Sebagai contoh, jika warna hijau dan merah kontrasnya dapat dilihat ia ditampilkan dengan cukup baik. Malahan, sewaktu cubaan merakam video zum, ia turut menunjukkan kualiti video masih lagi stabil dan tidak pecah.

Rakaman Gambar Makanan Di Dalam Kafe

Menyentuh mengenai kamera, Samsung Galaxy A52 ini membawakan kuad-kamera 64MP (Utama) + 12MP (Ultra-Lebar) + 5MP (Kedalaman) + 5MP (Makro).


Secara jujur, untuk rakaman gambar di dalam kafe boleh dikatakan tidak ada sebarang masalah yang berlaku. Setiap hasil gambar yang dirakam boleh dikatakan hampir sempurna.

Seperti yang anda lihat pada sampel gambar di bawah, ia menampilkan gambar makanan yang sangat menyerlah untuk setiap warna dan ciri yang dipaparkan. Perincian pada makanan jelas kelihatan ditambah lagi dengan mod kecerdasan buatan yang dapat mengecam gambar di dalam kategori makanan.



Untuk penggunaan lensa makro pula, ia sedikit menghampakan. Seperti yang anda lihat, butiran gambar tidak dapat dilihat dengan begitu baik. Ia kelihatan kabur dan tidak menunjukkan apa-apa kelebihan pada rakaman yang diambil.



Pengambilan gambar potret menggunakan lensa 64MP, kualiti gambar yang dipamerkan kelihatan begitu kemas. Jadinya, ia sangat sesuai untuk anda yang mungkin menggemari rakaman OOTD di dalam kafe, makanya kamera daripada Samsung Galaxy A52 ini adalah pilihan yang tidak menghampakan. Cuma kalau dilihat secara kasar, warna kulit mungkin akan kelihatan sedikit kemerahan jika ia tidak terdedah pada pengcahayaan yang cukup.



Gambar Dan Video Serentak Menggunakan Mod Fun Take

Untuk model Samsung Galaxy A52 ini, mereka ada memfokuskan satu penawaran mod mengambil gambar yang baharu iaitu Fun Take.

Waktu mencuba Fun Take ini, saya berasa kagum yang mana ia boleh merakam video dan gambar dalam pada masa yang sama. Pada penggunaan sendiri, ia dilihat sangat berguna yang mana saya boleh mendapat pelbagai variasi jenis rakaman seperti rakaman video 3 kali laju, rakaman video ulangan, rakaman gambar dengan penuras hitam putih, rakaman gambar biasa melintang dan juga menegak.


Malah, apa yang menarik untuk setiap gambar yang dihasilkan, anda boleh menggunakan sistem kecerdasan buatan pada kamera yang mana boleh mengesan teks pada gambar. Dengannya, anda boleh melakukan carian terus untuk teks dan juga menyemak terjemahan untuk teks yang terpapar.

Kelantangan Audio Sewaktu Memainkan Spotify

Siapa yang tidak gemar membuka muzik sewaktu ingin memasak? Ia seakan memberikan semangat untuk anda menyediakan makanan anda dengan lebih cekap dan pantas.


Disebabkan ia hadir dengan sistem audio stereo, kelantangan audio yang dihasilkan adalah cukup baik untuk ruang yang tidak begitu besar. Apabila saya meletakkan Samsung Galaxy A52 di ruang tamu, saya masih lagi boleh dengar dengan baik muzik yang dimainkan menerusi Spotify. 

Apa yang buat hanyalah meletakkan audio pada paras 75% dan audio yang dimainkan tidak pecah, namun masih lagi memberikan kelantangan yang memadai untuk didengari di dapur. 

Ketahanan Bateri – Anda Tidak Perlukan Power Bank

Kapasiti bateri yang ditawarkan secara amnya tidaklah begitu besar iaitu sekitar 4500mAh sahaja. Namun, pada pendapat saya ia sudah memadai untuk penggunaan seharian sewaktu berada di luar.



Untuk penggunaan biasa saya yang mana sekadar membuka aplikasi media sosial, merakam dan menyunting gambar, menatal produk menarik di Shopee dan juga bermain permainan mudah-alih seperti Subway Surf, ia sudah mencukupi tanpa memerlukan anda untuk membawa power bank.

Untuk permainan yang lebih berat seperti Asphalt 9, ia dilihat menggunakan bateri yang agak cepat yang mana pada penggunaan saya sendiri, ia mampu bertahan sehingga 3 hingga 4 jam penggunaan jika dimainkan secara berterusan.


Namun, ia bukanlah satu perkara yang mengecewakan kerana Samsung Galaxy A52 ini hadir dengan sistem pengecasan pantas yang hanya memerlukan sekitar 25 minit untuk 50 peratus dan sekitar 1 jam untuk ia kembali menjadi 100 peratus.

______________________________________________________________________

Untuk spesifikasi yang lebih jelas, Tajria menampilkan beberapa maklumat penting mengenai Samsung Galaxy A52 di dalam rajah di bawah.

Nama ModelSamsung Galaxy A52Paparan6.5-inci Super AMOLED FHD+ (1080 x 2400), Infinity-O Display, 90 HzCip PemprosesCip lapan teras, Snapdragon 720GKalis AirIP67RAM8GBStoran256GBKamera Utama64MP (f/1.8) – (Utama)12MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar)5MP (f/2.4) – (Kedalaman)5MP (f/2.4) – (Makro)Kamera Swafoto32MP (f/2.0)Bateri4,500mAh + Pengecasan Pantas 25WSlot SimNano SIM + Nano SIM / MicroSDSistem ImbasanImbasan Wajah, Cap JariHarga JualanRM 1499

Dengan ini dapat disimpulkan yang mana penggunaan Samsung Galaxy A52 ini sememangnya menawarkan pengalaman yang cukup baik yang setanding dengan penawaran harganya.


Jadi, adakah Samsung Galaxy A52 dapat mengembalikan minat saya kepada peranti Android? Jawapannya adalah ya. Namun saya memerlukan masa yang agak lama untuk mengurangkan rasa janggal sewaktu memegang dan menatal pada skrin peranti.

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan kualiti gambar yang terhasil juga boleh dikatakan agak memuaskan tanpa memerlukan anda membuat suntingan yang berat pada gambar anda. Malah, dengan adanya mod-mod yang menarik menjadikan lagi pengalaman rakaman gambar menggunakan Samsung Galaxy A52 boleh dikatakan hampir sempurna.

Komen