Adakah anda minat dan mahu menulis secara serius tetapi
tidak tahu hendak mula dari mana?

Atau ada sesuatu yang anda mahu kongsi menerusi penulisan
tetapi tidak terluah kerana tidak yakin?

Jangan risau kerana anda tidak keseorangan, saya turut
pernah merasakan hal yang sama.


Namun saya tersedar satu perkara; skil penulisan boleh
diasah. Tidak semestinya bergantung 100% kepada bakat tetapi juga latihan dan kemahuan
untuk belajar secara maraton.

Anda boleh beli pelbagai kursus untuk mula belajar menulis
namun mahaguru atau ‘sifu’ terbaik sebenarnya adalah pengalaman anda sendiri. Skil
tersebut akan bertambah bila kita praktis.

Jom kita lihat platform manakah yang sesuai untuk anda bagi
melemparkan diri ke dalam arena penulisan kandungan sebenar:

Medium                                              

Medium adalah platform
penerbitan dalam talian dari Amerika Syarikat yang diasaskan oleh Evan
Williams. Ia juga mungkin saudara tiri kepada Twitter dan Blogger kerana
Williams turut merupakan co-founder bagi kedua-dua laman sosial ini.

Umum mengetahui Twitter menyediakan ruang kecil dengan had
280 patah perkataan di mana para penggunanya perlu mencipta untaian atau
bebenang siri tweets bagi melengkapkan cerita.

Manakala dalam Medium pula anda mahu mengait bebenang
sehingga menjadi baju pun boleh kerana tiada batasan perkataan. Di platform ini
anda boleh mengetuk papan kekunci semahu-mahunya.


Selain itu, anda juga akan belajar banyak perkara daripada perkongsian
penulis-penulis lain kerana ia turut menyajikan artikel-artikel dalam pelbagai
topik seperti keusahawanan, teknologi, komik, puisi, perspektif kehidupan dan
banyak lagi.

Pendaftaran bagi menulis adalah percuma namun untuk membaca
artikel-artikel premium penulis lain pula dikenakan yuran langganan ($50 secara
tahunan atau $5 secara bulanan).

Keuntungannya dikatakan turut diagihkan kepada para penulis
yang menerbitkan kandungan artikel berkualiti dan mendapat perhatian pembaca. Mungkin
sebab itulah platform ini antara yang menjadi sasaran ramai penulis dari serata
dunia untuk menulis sambil menjana pendapatan.

Tajria

Semasa pertama kali mendengar tentangnya, tanpa banyak fikir
saya terus daftar Tajria untuk menjadi sebahagian daripada komuniti.

Ini usaha anak tempatan yang patut disokong. Sebelum ini sisi
naif saya menyangka platform penerbitan dalam talian seumpama ini hanya ada di
luar negara. Pernah terdetik dalam hati saya sekiranya wujud juga di Malaysia, saya akan kata ‘Shut up and take my soul’.

Pihak Tajria membuka peluang kepada anda untuk berkarya,
menyuarakan pandangan dan menjadikan laman perkongsian ini sebagai satu
inisiatif untuk menyampaikan maklumat.


Di laman ini, anda boleh terus menulis dan menerbitkan
sendiri tulisan dalam pelbagai topik tanpa perlu tunggu lampu hijau, lampu merah atau lampu kuning daripada editor seperti media tradisional sebelum ini. 

Ia boleh jadi
ruang kepada sesiapa yang minat penulisan untuk mengasah skil.

Antara topik yang dibincangkan termasuk resipi, kecantikan,
kesihatan, motivasi, fesyen, gaya hidup, automotif dan keluarga yang sesuai
dengan peredaran dunia dan topik semasa.

Cara untuk daftar anda boleh baca di sini.

WordPress

Untuk perancangan jangka masa panjang, ada baiknya juga anda
memiliki website sendiri untuk menjadi rumah kepada karya-karya anda. Salah
sebuah platform website paling popular di dunia adalah WordPress.

Terdapat dua versi WordPress iaitu percuma (WordPress.com)
dan berbayar (WordPress.org). Sekiranya anda tulis blog sebagai hobi atau suka-suka,
platform percuma pun sudah okay.

Namun kalau anda mahu tampak lebih profesional dan serius
mahu menjana wang daripada website anda, self-hosted WordPress.org
merupakan pelaburan yang baik, mempunyai lebih banyak opsyen dan anda bebas untuk mencorakkan
website tersebut mengikut kemahuan anda.

Saya percaya insya-Allah anda mampu buat website sendiri dalam
masa 24 jam, malah ada yang hanya mengambil masa 5 minit dengan tiga langkah mudah
ini:

  •  Dapatkan nama domain untuk website (contoh: www.nama-awak.com) supaya senang orang nak
    cari di internet.
  • Pilih pengehosan web atau webhosting.  Anda boleh mendapatkannya daripada
    penyedia-penyedia perkhidmatan webhosting contohnya Exabytes, ServerFreak, Hostinger
    dan Bluehost.
  • Install WordPress dan siap!

Kemudian pasang theme dan plugin untuk menghias dan
memastikan website anda berfungsi. Ada theme dan plugin yang percuma (fungsi
terhad) dan berbayar.


Ini baru cerita asas, sebenarnya ada banyak perkara lagi
perlu dibuat bagi mengembangkan website seperti menukil kandungannya, SEO,
Google Analytics, Ads, Affiliates dan macam-macam lagi.

Alternatif lain

Selain tiga platform di atas, anda boleh teroka LinkedIn, Blogger, Weebly, Wix dan terkini Substack yang kebelakangan ini hangat diperkatakan oleh
komuniti penulis dalam talian (online writers).  

Cara lain lagi adalah menghantar karya kepada website orang
lain. Sekiranya anda menaip ‘write for us’ atau ‘menulis untuk kami’
dalam carian Google, nanti keluar deretan laman web termasuk media ternama yang
mengalu-alukan penulis tamu dan sumbangan karya.

Apabila karya tersiar pasti anda akan berasa seperti mahu petik
bintang.

Cuma anda juga perlu bertabah sikit dengan cara ini kerana menunggu
artikel berjaya disiarkan adakalanya ibarat menanti cinta yang tak berbalas. Tetapi
tidak mengapa kerana penolakan itu mungkin akan menjadi dividen untuk masa
depan nanti.

Sekian sahaja perkongsian saya yang tahu serba sedikit dan
pernah alami. Jika anda rasa artikel ini berguna, silakan bookmark halaman ini  atau mohon kongsikan juga dengan insan yang sejiwa dalam bidang ini.

Semoga bermanfaat dan selamat menulis!