Carian
Bagaimana Untuk Mengetahui Ayam Mentah Masih Segar?
June 10, 2021 Lina Rosli

Sebelum ini, Tajria pernah berkongsi kepada anda cara untuk menyahbekukan ayam sebelum mula memasak. Ia amatlah penting untuk anda menggunakan teknik nyahbeku ayam yang betul bagi mengelakkan ia tidak masak sepenuhnya sekaligus boleh menyebabkan keracunan makanan.

Mengapa boleh mengakibatkan keracunan makanan?


Hal ini kerana, terdapat beberapa jenis bakteria boleh hidup pada ayam sebelum dimasak. Ia termasuklah Campylobacter, Salmonella dan juga Clostridium Perfringens.

Ketiga-tiga bakteria ini boleh menyebabkan gejala seperti demam, cirit-birit, najis berdarah, muntah dan dehidrasi. Malah, apa yang lebih teruk lagi, bakteria berbahaya ini dapat merebak ke kawasan lain seperti bersentuhan dengan papan pemotong, meja, perkakas atau makanan lain.

Oleh sebab itu, adalah penting untuk anda membersihkan dan mencuci papan pemotong sebaiknya sebelum menyimpannya. Bukan itu sahaja, setelah mengendalikan ayam mentah sejuk atau beku, anda harus selalu mencuci tangan sekurang-kurangnya 20 saat dengan sabun dan air suam untuk mengelakkan penyebaran kuman.

Bagaimana Untuk Mengetahui Ayam Mentah Yang Disimpan Atau Dijual Sudah Tidak Elok?

Terdapat tiga cara mudah yang boleh anda periksa dengan segera untuk melihat apakah ayam anda sudah perlu dimasak segera atau dibuang kedalam tong sampah.

Lihat Warna Pada Kulit Atau Isi Ayam

Warna ayam tersebut hendaklah kelihatan segar iaitu berwarna merah jambu ataupun jingga cerah.

Jika ia mula menampakkan bahagian dengan sedikit warna merah gelap ataupun warna yang telah kusam, makanya ayam anda sudah hampir tidak elok dan perlu dimasak segera.

Namun, setelah daging mulai kelihatan kelabu, sudah tiba masanya untuk membuang ayam itu.


Ayam Mengeluarkan Bau Yang Kuat

Kebiasaannya, ayam mentah yang sudah busuk mempunyai bau yang sangat kuat. Kadang-kadang ia boleh digambarkan sebagai bau masam. Sekiranya ayam mempunyai bau apa-apa, maka yang paling selamat adalah membuangnya.

Isi Ayam Sudah Mula Berlendir

Ketiga, cuba periksa pada bahagian isi ayam. Ayam mentah secara semula jadi mempunyai tekstur berkilat dan berlendir.

Namun, jika isinya pula yang berlendir, itu adalah petunjuk lain yang mana ayam berkenaan sudah tidak elok dan tidak boleh dimakan.

Oleh itu, elakkan daripada membiarkan ayam anda berada di peti sejuk terlalu lama. Sama ada ayam yang telah dimasak ataupun yang masih mentah. Anda boleh mengetahui sama ada ayam yang dimasak menjadi tidak sedap jika mengeluarkan bau tengik atau mula kelihatan kelabu.

Komen